KEMAMAN – Pasukan penyelamat belum menemui sebarang petunjuk keberadaan dua mangsa bot karam yang masih hilang dalam tragedi yang melibatkan bot nelayan dan sebuah tongkang di perairan Kemaman di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata, beliau telah menerima makluman dimana pihak agensi kerajaan seperti Polis, Bomba dan Maritim telah menggandakan usaha bagi mengesan dua lagi mangsa yang hilang termasuk di lokasi bot karam.
“Setakat ini kita belum menemukan petunjuk mangsa yang hilang dan pihak berwajib sedaya upaya akan mencari cara terbaik untuk mengesan dua lagi mangsa yang belum dijumpai.
“Untuk pencarian hari ini, saya difahamkan pihak bomba turut menggunakan unit udara untuk membuat tinjauan di lokasi kejadian dan sekitarnya,” ujarnya kepada pemberita.
Katanya lagi, perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sebelum ini, dua mangsa ditemukan lemas manakala dua lagi masih hilang apabila bot dinaiki sembilan penumpang termasuk dua tekong karam dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi Ahad.