Home Kenyataan Media PAS Johor

Usah menjadi selumbar politik murahan

66
SHARE

 

Firman Allah S.W.T :

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُوْنُوْا قَوَّامِيْنَ لِلّٰهِ شُهَدَاۤءَ بِالْقِسْطِۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَاٰنُ قَوْمٍ عَلٰٓى اَلَّا تَعْدِلُوْا ۗاِعْدِلُوْاۗ هُوَ اَقْرَبُ لِلتَّقْوٰىۖ وَاتَّقُوا اللّٰهَ ۗاِنَّ اللّٰهَ خَبِيْرٌۢ بِمَا تَعْمَلُوْنَ.

Mafhumnya : “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi penegak keadilan kerana Allah, (ketika) menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap suatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil (terhadap mereka). Berlaku adillah. Kerana (adil) itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu lakukan”.

Surah Al-Maaidah : 8

Tuduhan PAS kemaruk kuasa dan mengejar habuan duniawi apabila menolak PRU 15 segera adalah suatu yang amat berat dan jauh daripada kebenaran. Ianya muncul daripada sifat kebencian yang tertanam di benak seorang yang tidak ikhlas.

PAS sebagai sebuah parti dakwah yang menjadikan politik sebagai medium dan jalan, tetap teguh di atas prinsip mengutamakan kepentingan rakyat dan mengekalkan keharmonian.

PAS menolak gesaan disegerakan Pilihanraya Umum ke-15 memandangkan pemulihan negara masih belum selesai ekoran pandemik covid 19. Ini ditambah lagi dengan kenaikan harga barangan keperluan harian yang pastinya akan menghimpit rakyat jelata.

PAS sudah biasa menjadi pembangkang. Namun agenda berkebajikan dan prihatin sudah menjadi amalan bagi PAS. Sebagai contoh Jabatan Amal Malaysia sentiasa bersemangat untuk menabur bakti tanpa mengira waktu dan tempat.

Keadaan pasca PRU 14 di mana telah berlaku 3 kali pertukaran Perdana Menteri adalah sejarah hitam bagi negara kita. PAS melihat kepimpinan YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri sedang berada di landasan yang tepat untuk mengembalikan kesejahteraan negara dan rakyat melalui usaha pemulihan yang telah dan sedang dilakukan.

Walaupun PAS punya kekuatan sendiri untuk mendepani Pilihanraya Umum ke-15, namun keutamaan sekarang adalah penjimatan kos untuk kebajikan rakyat dan agenda pemulihan negara.

Justeru adalah tidak wajar untuk menuding jari dan membuat tohmahan konon PAS takut hilang kuasa jika PRU 15 disegerakan.

Ingatlah kekuatan kita Keluarga Malaysia adalah kesatuan kita. Usah kita merasakan sudah cukup kuat jika bersendirian. PRN Melaka dan Johor bukan ukuran sebenar untuk menilai kekuatan sesebuah parti.

PAS Johor menasihatkan agar berhati-hatilah mengeluarkan kata-kata kerana ia boleh menjadi selumbar yang menyucuk daging kawan sendiri.

Tinggalkan sifat kebencian, ego dan dendam kesumat. Tabahkan hati menerima ketentuan Ilahi membina persefahaman dan penyatuan demi mencapai redha Ilahi.

‘Islam Menyatukan Ummah’

Abu Irfan Muhammad Al-Urduni,
Ketua Penerangan PAS Johor.

13 Zulkaedah 1443
13 Jun 2022

#IslamRahmatUntukSemua
#KeluargaMalaysiaHarmoni