Home Berita PAS Terengganu

Universiti Antarabangsa Buka Pintu, Pelajar Terengganu Perlu Lebih Bersedia

5
SHARE

KUALA NERUS – Kerajaan Terengganu komited melahirkan lebih ramai cendekiawan bertaraf antarabangsa dengan membuka peluang pengajian ke luar negara, namun keupayaan berbahasa dan kematangan sahsiah kini menjadi prasyarat utama untuk merebut peluang tersebut dalam persekitaran global yang semakin kompetitif.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat menegaskan bahawa para pelajar perlu melengkapkan diri dengan persediaan akademik dan peribadi kerana banyak universiti memerlukan sesi temuduga secara langsung sebelum kemasukan.

“Kadang-kadang universiti akan temuduga pelajar secara terus.

“Jadi pelajar mesti bersedia dari segi penguasaan bahasa, khususnya bahasa Arab dan Inggeris,” katanya ketika berucap di Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu kali ke-15 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Ahmad Farhan Abdul Wahab.

Menurut beliau, beberapa universiti di destinasi tumpuan seperti Cape Town menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya sebagai bahasa pengantar, manakala institusi di negara-negara Arab menuntut penguasaan tinggi dalam bahasa Arab sebagai syarat kemasukan.

“Tahun ini kita kekalkan penghantaran 20 pelajar ke Algeria, dan kita baru terima berita gembira Tunisia tawarkan 10 tempat di Universiti Zaituna di ibu negara Tunis dan 10 lagi di kampus cawangan mereka,” tambah beliau.

Beliau turut memaklumkan peluang pengajian turut dibuka di Jordan, Mesir, Oman, Cape Town dan Kuwait, namun peningkatan kos sara hidup di sesetengah negara seperti Jordan kini sedang diteliti bagi menjamin kebajikan pelajar.

“Tahun ini kita juga buka laluan baharu ke Iraq, lima tempat untuk pengajian pergigian dan 20 tempat untuk pengajian Islam di Universiti Baghdad dan Universiti Mosul,” jelasnya lagi.

Dalam masa sama, beliau mengumumkan penempatan pelajar dalam bidang dakwah di universiti di Libya sebagai satu strategi untuk melahirkan pendakwah yang mampu menyebarkan kefahaman Islam secara global.

“Selain itu, kuliah dakwah di universiti di Libya, di samping ada beberapa pelajar yang kita hantar ke Oman dan Kuwait,” ujarnya.