Home Artikel PAS Wilayah

Ulamak WP : Kerajaan Jangan Tunduk Pada Gesaan Pengusaha Kelab Malam

569 views
SHARE

Kenyataan Media
Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan

KERAJAAN JANGAN TUNDUK PADA GESAAN PENGUSAHA KELAB MALAM
(30 Disember 2018)

1. Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) meminta kerajaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak melayan gesaan Pengusaha kelab malam di Kuala Lumpur yang mahu kerajaan dan DBKL pertimbang semula cadangan tutup semua pusat hiburan pada jam 1 pagi. Kenyataan pengusaha kelab malam bahawa langkah kerajaan menutup premis kelab malam pada jam 1.00 pagi boleh menjejaskan perniagaan mereka, bahkan juga ekonomi negara termasuk industri pelancongan adalah kenyataan tidak munasabah.

2. DUPWP berpandangan tidak ada keperluan untuk kerajaan kaji gesaan mereka kerana operasi mereka bukan ditutup terus, sebaliknya dihadkan sehingga ke jam 1.00 pagi sahaja. Sepatutnya pengusaha kelab malam berterima kasih kerana masih diberi ruang meneruskan perniagaan mereka sehingga ke jam 1.00 pagi. Jika diikutkan, umat Islam mahu kelab malam terus ditutup kerana ia menyumbang lebih banyak keburukan dari kebaikan. Tidak ada ruginya ekonomi dan industri pelancongan negara jika kelab malam ditutup kerana banyak lagi sektor lain yang boleh memajukan negara. Industri pelancongan hidup subur dengan kekayaan khazanah alam, keamanan dan keharmonian negara, serta teknologi moden yang dibangunkan sekarang dan tidak semestinya bergantung kepada kelab malam semata-mata.

3. DUPWP juga menyangkal kenyataan mereka bahawa pusat hiburan sebahagian budaya Kuala Lumpur. Hakikatnya tidak ada penduduk di Kuala Lumpur yang mahukan budaya liar, ‘kuning’, merosakkan akhlak menjadi sebahagian budaya hidup mereka. Cuba lihat aktiviti seperti pelacuran, dadah, minuman arak, jenayah, perjudian, kumpulan kongsi gelap dan samseng. Banyaknya berpunca dari kelab malam. Dari kelab malam jugalah berlakunya perceraian suami isteri, pergaduhan keluarga, perzinaan, kelahiran anak luar nikah, tekanan perasaan dan seribu satu masalah lain.

4. Kami ingin bertanyakan kepada pengusaha kelab malam ini, mengapa mahu dihidupkan aktiviti malam dengan operasi kelab malam? Adakah untuk melayan pengunjung yang sekadar datang untuk berhibur, melepas tekanan perasaan dan kemudiannya mabuk, berzina, atau memandu dalam keadaan bahaya atau melakukan sesuatu tindakan luar kewarasan akal seperti yang selalu berlaku. Mengapa tidak dibudayakan masyarakat yang menghidupkan malam dengan aktiviti berfaedah seperti bersama keluarga di rumah, makan bersama atau berada di tempat-tempat yang sesuai untuk keluarga dan bukannya di kelab malam.

5. Oleh itu, DUPWP mahu melihat secebis ketegasan kerajaan khususnya Menteri Wilayah Persekutuan agar tidak melayan sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak yang mahu menggalakkan kemungkaran dari terus berleluasa. Bahkan, sebaiknya kerajaan mengkaji kesesuaian kelab malam berada di pusat Bandar Kuala Lumpur kerana ia mencacatkan reputasi bandaraya Kuala Lumpur sebagai ibu negara umat Islam di Malaysia ini.

HJ MD ALI JAMIL
Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan