Home Artikel PAS Wilayah

Ulamak Wilayah : Menteri Agama Perlu Berhati-hati Dalam Ucapan dan Tindakan

431 views
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN ULAMAK PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

MENTERI AGAMA PERLU BERHATI-HATI DALAM UCAPAN DAN TINDAKAN
(8 Oktober 2018)

1. Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) meminta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa agar berhati-hati dengan ucapan dan tindakan beliau. Sebagai seorang Menteri dan yang menjaga urusan agama, setiap butir perkataan beliau menjadi perhatian media dan masyarakat umum. Jika beliau terlepas cakap atau tersalah cakap, media mungkin tersalah tafsir kenyataannya sehingga menjadi rujukan masyarakat.

2. Isu tangkapan khalwat yang dipetik oleh media dua hari lalu dan dikatakan telah tersalah lapor melalui penjelasan oleh Datuk Dr Mujahid sendiri sehingga meminta media tersebut meminta maaf adalah tindakan terbaik membersihkan namanya daripada tohmahan umum. DUPWP bersetuju agar setiap kenyataan oleh beliau dan mana-mana pemimpin wajar untuk disiasat kebenarannya sebelum ‘dijatuhkan hukuman’ sebagaimana perintah Allah di dalam al Quran:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

(Al-Hujuraat ayat:6)

3. Namun DUPWP mahu mendapatkan penjelasan sebenar apakah yang dimaksudkan dengan kenyataan beliau tersebut. Ini kerana ucapannya yang disiar dalam The Star itu menjadi rujukan dan bualan masyarakat. Bahkan, di kalangan para Mufti juga turut mempertikaikan ucapan beliau berdasarkan laporan tersebut. Maka, amatlah penting untuk beliau segera menjelaskan ucapan serta pandangannya supaya masyarakat tidak lagi keliru.

4. Dalam pada itu, kami mengingatkan Datuk Dr Mujahid agar mendapatkan nasihat dan pandangan para ulamak termasuk para Mufti sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan agama. Kontroversi ucapannya bukan sekali, tetapi telah tiga kali termasuk isu Dr Zakir Naik dan LGBT yang pernah beliau katakan suatu ketika dahulu. Jika ia berterusan imej beliau sebagai Menteri Agama tercalar dan masyarakat akan memperlekehkan kredibitili kerana sering ‘tersalah cakap’, tersalah lapor, menarik balik kenyataannya, meminta maaf jika mendapat kritikan netizen dan masyarakat dan lain-lain. Beliau mungkin akan menjadi sendaan dan gurauan bahawa beliau hilang kelayakan menjadi Menteri Agama.

5. Selain daripada itu, kritikan umat Islam termasuk golongan agamawan adalah kerana mereka sayangkan agama Islam ini dan inginkan beliau sebagai pemimpin agar sentiasa menjaga kepentingan umat Islam, menjaga batas hukum dan bertegas dalam menjaga hak agama Islam supaya pihak yang memusuhi Islam tidak dapat mengambil kesempatan terhadap suasana politik di negara ini. Dalam suasana negara pada hari ini, golongan berfahaman ‘liberal’, sosialis, sekular dan anti Islam sengaja mencari ruang menempatkan diri mereka sedangkan para pemimpin umat Islam dilihat sekadar diam membisu tanpa tindakan apa-apa. Mungkin ia adalah persepsi tetapi Datuk Dr Mujahid perlu membuktikan persepsi itu tidak benar dengan ketegasannya membela Islam sebagaimana slogannya ‘Rahmatan Lil Alamin’

USTAZ HJ MD ALI JAMIL
Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan