Home Dewan Ulamak PAS Pusat

Ulamak Sambut Baik Keputusan Antarabangsa Dalam Isu Etnik Rohingyaa!!a!a!

581
SHARE

KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat

ULAMAK SAMBUT BAIK KEPUTUSAN ANTARABANGSA DALAM ISU ETNIK ROHINGYA

1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyambut baik terhadap keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) pada 23 Januari 2020 baru-baru ini yang memerintahkan Myanmar untuk melindungi penduduk etnik Rohingya di negara itu serta memastikan pihak tentera negara itu menghentikan genosid terhadap etnik tersebut.

2. Keputusan ini sudah pasti pada asasnya menggembirakan semua pihak khususnya umat Islam di seluruh dunia kerana yang dibunuh itu juga merupakan umat Islam dari kumpulan etnik Rohingya. Kesabaran mereka dalam penindasan yang dialami ini merupakan satu ujian yang pastinya tidak akan disia-siakan melainkan dibalasi oleh Allah SWT dengan ganjaran besar atas kesabaran mereka.

Firman Allah SWT :

وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَیۡءࣲ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصࣲ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَ ٰ⁠لِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَ ٰ⁠تِۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِینَ

Maksudnya :
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” – [Surah Al-Baqarah 155]

3. Dengan ada keputusan tersebut, semua pihak di pelbagai peringkat termasuk pihak kerajaan Malaysia dan pertubuhan kebajikan perlu memanfaatkan peluang ini untuk terus menggerakkan usaha-usaha yang lebih baik bagi membantu krisis kemanusiaan yang dihadapi oleh kumpulan etnik Rohingya ini.

4. DUPP mendesak agar pihak Majlis Keselamatan PBB dapat memastikan negara Myammar patuh terhadap keputusan yang telah dikeluarkan oleh ICJ tersebut. Tindakan berat perlu dikenakan sekiranya negara Myammar terus berdegil kerana akan mengakibatkan krisis kemanusiaan yang sedia ada berlarutan dan bertambah teruk.

5. DUPP merakamkan jutaan tahniah kepada negara Gambia yang mewakili Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC) dalam mengangkat isu krisis kemanusiaan yang menimpa kumpulan etnik Rohingya ke peringkat ICJ bagi mendapatkan pembelaan yang sangat bernilai ini. Sekalipun negara Gambia bukanlah sebuah negara yang besar, namun keberanian dan keprihatinan yang ditunjukkan wajar menjadi pengajaran dan teladan oleh negara-negara umat Islam yang lain.

Firman Allah SWT :

یُرِیدُونَ لِیُطۡفِـُٔوا۟ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَ ٰ⁠هِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَـٰفِرُونَ

Maksudnya :
“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” – [Surah As-Saf 8]
Sekian.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh)