Home Berita PAS Perlis

Ulamak Perlu Jadi Golongan ‘Ribbiyyun’ Dalam Perjuangan

1352
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : Ulamak haraki dalam PAS mestilah bersedia menjadi golongan ‘ribbiyyun’ dalam perjuangan Islam, demikian kata Pemangku Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Haji Nazri Chik.

Memetik kata-kata Syeikh Said Hawwa, beliau menjelaskan golongan ribbiyyun adalah sekelompok manusia yang mempunyai kefahaman syariat yang jelas, kesabaran serta keberaniaan untuk meneruskan perjuangan tanpa terpengaruh dengan unsur-unsur yang bertujuan menghalangnya (perjuangan).

Menurutnya lagi, sejarah membuktikan bahawa gerakan Islam akan sentiasa didokong oleh para ulamak yang distilahkan sebagai ulamak haraki, justeru, golongan ini (ulamak) seharusnya bersedia untuk menjadi golongan ribbiyyun yang akan mendepani perjuangan Islam pada setiap masa dan keadaan.

“PAS yang berdiri di atas paksi kepimpinan ulama perlulah miliki tenaga alim ulama yang setia dan bergerak cergas berada di peringkat atasan seperti syura dan kepimpinan utama mahupun di peringkat negeri dan juga kawasan.

“Selaku teraju perjuangan, golongan inilah (ulamak) yang akan menjaga dasar-dasar Islam sepanjang parti melaksanakan amanah kepimpinan menerajui ummah ke arah kemenangan yang diimpikan di dunia dan di akhirat,” jelas beliau ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS Negeri Perlis Kali Ke-42 yang berlangsung di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) dekat sini.

Lebih 60 orang perwakilan serta pemerhati hadir dalam muktamar yang diadakan pada 14 April lalu.

Ke arah merealisasikan hasrat tersebut, beliau menggariskan beberapa sifat yang perlu ada pada diri setiap ulamak, antaranya ketinggian ilmu dan akhlak yang terpuji.

“Para ulamak juga perlu berjiwa besar, mengekalkan sifat tawadhuk dan terbuka untuk ditegur kesilapannya, sebagimana para ulama perlu menjadi orang yang berani menegur,” jelas beliau.

Pada masa yang sama, beliau menggesa golongan ulamak supaya melahirkan generasi pelapis yang memiliki integriti serta kompentensi yang tinggi sebagai persediaan menerajui posisi penting dalam pentadbiran kerajaan.