Oleh AMIRUL SYAKIRIN
ARAU, 9 Dis: Program Jualan Prihatin Keluarga Malaysia anjuran Dewan Ulamak PAS kawasan Arau dengan kerjasama Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda PAS Perlis telah diadakan di Tapak Market lama Pekan Arau, di sini.
Program yang berlangsung semalam itu bermatlamatkan membantu rakyat yang berdepan dengan isu kenaikkan harga barang yang berlaku sejak akhir-akhir ini.
Menerusi program tersebut, penduduk berpeluang mendapatkan barangan keperluan harian pada harga serendah 50 peratus lebih murah berbanding di tempat lain.
Pengarah DUN Pauh, Abdul Kadir berkata harga yang ditawarkan adalah amat berpatutan sekaligus dapat membantu para penduduk khasnya mereka yang berpendapatan rendah.
“Alhamdulillah, program pada hari ini mendapat sambutan yang amat baik dan kami melaksanakan SOP yang amat ketat bagi memastikan kelancaran serta keselamatan semua yang hadir.
“Program jualan ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial PAS dalam usaha membantu rakyat khasnya golongan yang terkesan seperti golongan B40”, katanya ketika ditemui di sini.
Turut hadir menjayakan program tersebut ialah Bendahari Dewan Ulamak PAS Kawasan Arau, Khairuddin Mohamad.