Home Artikel PPP

Ulamak Nusantara: Perjuangan, Dakwah Dan Jihad – Sheikh Mahfuz At-Turmusi (1842-1920): Ahli Hadis Melayu Terbesar

187 views
SHARE
Gambar sekadar hiasan. (Dokumentasi Pondok Tremas, Pacitan) Sumber Gambar: http://www.nu.or.id/o-client/nu_or_id/pictures/post/big/145560132556c2b6adafaf8.jpg

ULAMAK NUSANTARA: PERJUANGAN, DAKWAH DAN JIHAD

SHEIKH MAHFUZ AT-TURMUSI (1842-1920): AHLI HADIS MELAYU TERBESAR


ILMU hadis tidak banyak dikaitkan dengan ketokohan ulamak-ulamak Melayu, walaupun banyak kitab hadis dihasilkan di rantau ini. Ilmu hadis lebih masyhur di kalangan ulamak Arab, Asia Tengah dan India, sedangkan di kalangan ulamak Melayu lebih terkenal dengan ilmu fiqh dan usuluddin. Namun begitu, di celah-celah ribuan ulamak Melayu, lahir tokoh hadis yang terbesar dan bertaraf antarabangsa iaitu Sheikh Mahfuz at-Turmusi yang berasal dari Pulau Jawa.

Sheikh Mahfuz at-Turmusi dilahirkan pada 1842M / 1285H di Tremas, Madiun, Jawa Timur. Beliau berketurunan Ketok Jenggot iaitu tokoh yang dikatakan meneroka dan membuka desa Tremas. Beliau menamakan desa ini sebagai ‘tremas’ kerana menemui sebilah patrem (senjata tradisional Jawa seperti keris) yang dibuat dari emas. Kata Tremas itulah yang di-Arabkan sebagai Turmus, Tarmas atau Trimas (t-r-m-s). Lalu digelar beliau sebagai at-Turmusi. Nama asalnya ialah Muhammad Mahfuz bin Abdullah bin Abdul Manan bin Demang Dipomenggolo I, iaitu keturunan dari Ketok Jenggot.

Demang Dipomenggoro I bukan sahaja seorang bangsawan, tetapi seorang ulamak yang membuka pesantren (pondok) di Semanten. Anaknya, Kiyai Abdul Manan (atau Mas Bagus Sudarso) dijadikan menantu oleh Demang Ngabehi, pemimpin Desa Tremas yang juga berketurunan Ketok Jenggot. Pada 1830, didirikan Pesantren Tremas oleh Kiyai Abdul Manan. Pada 1862, Kiyai Abdullah, anak Kiyai Abdul Manan yang baru tamat belajar di Tanah Suci telah memimpin pesantren ini menggantikan ayahnya yang wafat. Pesentren ini dilanjutkan oleh Kiyai Muhammad Dimyathi kemudiannya, walaupun Kiyai Abdullah mempunyai putera yang lebih alim iaitu Sheikh Mahfuz at-Turmusi. Sheikh at-Turmusi telah memberi fokus untuk mengajar di Tanah Suci, tidak di tempat kelahirannya.

At-Turmusi mendalami ilmu agama

Setelah tamat belajar dengan ayahnya di Pesantren Tremas, beliau menggurui Kiyai Saleh Darat di Semarang, sebelum berangkat ke Tanah Suci bersama adiknya, Kiyai Muhammad Dimyathi. Ketika ini usia at-Turmusi sudah mencecah 30 tahun (1872). Di Tanah Suci, beliau belajar di Mekah dan Madinah. Antara guru-guru beliau ialah Sheikh Ahmad al-Minsyawi, Sheikh Amr Barkat as-Syami iaitu murid Sheikh Ibrahim al-Bajuri, Sheikh Mustafa Sulaiman al-Afifi, Sheikh as-Sayyid Hussein Muhammad al-Habsyi, Sheikh Saad Muhamad Bafasil al-Hadrami, Sheikh Muhammad Syarbini al-Dimyathi, Sheikh al-Jalil Sayyid Muhammad Amin al-Madani, Sheikh Sayyid Abu Bakar Muhammad Syatha’ dan lain-lain.

Melalui lapan guru utamanya ini, di samping guru-guru lain yang tidak dicatatkan, at-Turmusi telah menguasai ilmu hadis, qiraat, nahu-saraf, usul fiqh, tafsir, sastera Arab, dan juga ilmu-ilmu dalam dalam disiplin pengajian Islam. Keunggulan at-Turmusi dapat dilihat daripada karya-karyanya yang sangat terkenal dan menjadi rujukan di peringkat pengajian tinggi ilmu-ilmu Islam.

Karya-karya monumental at-Turmusi: Ketokohan sebagai ahli hadis

Mewarisi sanad ke-23 dalam rantaian sanad Sahih Bukhari, telah meletakkan Sheikh Mahfuz at-Turmusi sebagai tokoh hadis terbesar di Alam Melayu. Dengan keilmuannya, at-Turmusi telah menghasilkan beberapa kitab hadis, antaranya:

1. Al-Minhah al-Khairiyah fi Arbain Haditsan min Ahadits Khair al-Bariyyah iaitu kitab yang membicarakan 40 hadis Nabi SAW dengan kekuatan sanadnya.
2. Minhaj ad-Dzawi an-Nazhar bi Syarh Manzhumah al-‘Ilm al-Atsar, iaitu kitab menjadi syarah kepada Nazham Alfiyah as-Suyuthi, karya Imam Jalaluddin as-Sayuthi. Ia diakui dalam dunia akademik sebagai syarah terbaik bagi kitab tersebut.
3. Tsulatsiyah al-Bukhari, iaitu kitab yang mengandungi 22 hadis dengan tiga perawi antara Imam Bukhari dan Rasulullah SAW melalui Salamah bin al-Akwa, Anas bin Malik dan Abdullah bin Busr. Hadis-hadis ini anggap antara paling kuat sanadnya.

Penulisan tiga kitab hadis yang terbesar ini telah mengatasi karya-kayra beliau dalam bidang usul fiqh dan qiraat, sehingga kitab Minhaj az-Dzawi diiktiraf oleh para ahli akademi Universiti al-Azhar sebagai kitab syarah terbaik bagi Nazham Alfiyah karya Imam as-Suyuthi. Kitab ini dijadikan rujukan pengajian hadis dalam memahami pemikiran Imam as-Suyuthi.

Kitab-kitab lain yang dihasilkan oleh at-Turmusi ialah:
1. ‘Unyah at-Thalabah bi Syarh Nazhm at-Thayyibah fi Qiraat al-‘Asyriyyah dalam bidang qiraat 10;
2. Fadhl Hasyiyah Syarh Mukhtasar Bafadahl, iaitu sebuah kitab fiqh setebal lima jilid yang mensyarahkan karya Ibnu Hajar al-Asqalani yang terkenal itu;
3. Nail al-Ma’mul bi Hasyiyah Ghayah al-Wusul fi ‘Ilm al-Ushul, kitab usul fiqh yang mensyarahkan karya Sheikh Zakaria al-Ansari, Ghayah al-Wusul;
4. Hasyiyah Takmilah al-Minhaj al-Qawim ila al-Faraid tentang ilmu pewarisan
5. As-Siqayah al-Mardhiyyah fi Asma’i Kutub al-Ashhabuna as-Syafi’iyyah;
6. Al-Khali’ah al-Fikriyah bi Syarh al-Minhah al-Khairiyah;
7. Kifayah al-Mustafid fi ma ‘Ala min Asanid;
8. Al-Fawaidh at-Tamasiyyah fi Asanid al-Qiraah al-‘Asyariyyah;
9. Al-Badar al-Munir fi Qiraat al-Imam Ibnu Katsir;
10. Tanwir as-Shadr fi Qiraat al-Imam Ibnu ‘Amr;
11. Insyirah al-Fuad fi Qiraat al-Imam Hamzah;
12. Ta’mim al-Manafi fi Qiraat Imam Nafi’;
13. ‘Inayah al-Muftaqar fi ma Yata’allaq bi Syaidini Khidir;
14. Bughyat al-Azkiya’ fi al-Bahats an Karamat al-Auliya;
15. Fathu al-Khabir bi Syarh Miftah as-Sair; dan
16. Tahyi’ah al-Fikr Alfiyyah as-Sair.

Beliau juga turut mengajar dan menyebarkan Tarekat Syadziliyyah dalam aliran Naqsyabandi.

Murid-murid jempolan at-Turmusi

Sesuai dengan kemasyhuran namanya, beliau yang mengajar di Masjidil Haram telah melahirkan sejumlah murid yang ternama termasuklah Hadhratus Sheikh Hashim Asy’ari, pengasas Nahdatul Ulamak Indonesia; Kiyai Haji Abdul Wahab Hasbullah Jombang; Kiyai Haji R. Asmawi Kudus; Kiyai Haji Bisri Jombang; Kiyai Haji Salleh Tayu Pati; Kiyai Haji Dahlan Kudus dan lain-lain.

Setelah 48 tahun bermukim di Mekah sebagai pelajar, guru dan penulis, perjuangan dakwah Sheikh Mahfuz at-Turmusi telah berakhir dengan kewafatan di Mekah dalam tahun 1920M / 1338H. Beliau dikebumikan di perkuburan Ma’la berhampiran maqam Ummul Mukminin, Sayyidah Khadijah binti Khuwailid.

MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
25 Rabiul Akhir 1440 / 2 Januari 2019