Home Dewan Ulamak PAS Pusat

Ulamak Anjur Seminar Wanita Pembangunan Keluarga

1747
SHARE


Ulamak Anjur Seminar Wanita Pembangunan Keluarga

KUALA LUMPUR: Lajnah ‘Alimat dan Pembangunan Keluarga (LAPK) Ulamak PAS Pusat akan menganjurkan Seminar Wanita dan Pembangunan Keluarga bertempat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZM), Gombak pada Sabtu 7 Mac depan.

Seminar membawa tema “Keluarga Sejahtera Aspirasi Ummah” itu akan bermula jam 8:00 pagi hingga 5:00 petang yang padat dengan pengisian disusun bagi membentuk rumahtangga mawaddah wa rahmah yang menjadi tonggak harapan ummah.

Penganjurannya sebagai mengambil inisiatif bagi mendedahkan realiti, cabaran dan penyelesaian isu wanita serta pembangunan keluarga yang semakin rumit pada ketika ini.

Pengerusi LAPK Ulamak PAS Pusat, Ustazah Ana Mastura Ismail berkata, para ibu bapa perlu diberi pendedahan dengan ilmu kekeluargaan kontemporari kepada pasangan suami isteri yang kini kebanyakannya bekerjaya.

“Mereka juga perlu celik akan hak-hak wanita dan perundangan agar mereka tidak terbelenggu dan tertipu dengan pelbagai masalah disebabkan kurang mengetahui selok-belok perkahwinan, kekeluargaan dan anak-anak,”ujarnya.

Antara pengisian menarik seminar ini ialah pembentangan dua kertas kerja berkaitan perundangan iaitu ‘Undang-Undang Keluarga Islam: Hak Dan Tanggungjawab’ serta ‘Pengenalan Akta Perlindungan Wanita Dan Kanak-kanak’.

Seminar kali ini akan turut diserikan dengan slot khas ‘Sembang Santai Bersama Keluarga Haraki Poligami Contoh’ membariskan keluarga Hafidzan Faudzi berbicara sepentas bersama tiga isteri beliau yang amat menarik dengan tips kebahagiaan rumahtangga.

Sementara itu, para peserta akan turut diberi pendedahan lima kertas kerja dalam sesi pembentangan selari iaitu bagi slot pertama akan membincangkan tajuk ‘Dua Dekat Dasar Wanita Kelantan’ dan ‘Perlaksanaan Sistem Sulh Di Malaysia’.

Manakala pada slot kedua pula akan dibentangkan kertas kerja bertajuk ‘Amalan Zikrullah dan Ketenangan Dalam Kehidupan Berumahtangga’, ‘Komunikasi Melalui Qudwah Dalam Keluarga Muslim’ dan ‘Modul Rumahtangga Muslimah Kontemporari’.

Selain itu, turut akan dibentangkan dalam seminar ini kertas kerja bertajuk ‘Praktis Bahasa Qiwamah Dalam Rumah Tangga Rasulullah S.A.W’ yang mengangkat pembentukan keluarga sejahtera bermodelkan baginda Rasulullah.

Penyertaan ke program seminar ini terbuka kepada semua Muslimin dan Muslimat dengan bayaran sebanyak RM20 dan kepada yang berminat untuk mendaftar boleh hubungi Ustazah Azalinda di talian 01153509973 atau Ustazah Kassmawati 0164914169.

– HARAKAHDAILY 23/2/2020