Home Berita PAS Sabah

Ucapan Perasmian Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah Kali Ke-30

945
SHARE

Oleh : Aisyah Ramadha Ismail
30 Ogos 2020

SANDAKAN : Ucapan perasmian Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah kali Ke-30 hari ini disempurnakan oleh Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Hajah Rosni binti Adam.

Perasmian tersebut dimulakan dengan ucapan perasmian Dr. Hajah Rosni binti Adam iaitu ujian kemenangan dalam menghadapi kerja dan persiapan Pilihan Raya Negeri 26 September ini.

Muktamar kali ini dilaksanakan di Kelab Rekreasi Taman Indah Jaya, Sandakan dan dihadiri oleh hampir 100 orang ahli termasuk pimpinan tertinggi Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah.

Dr. Rosni juga menyentuh ucapan dalam laman muka buku Minda Presiden PAS dengan meletakkan agenda Islam di hadapan dan sentiasa berjiwa besar dalam berhadapan dengan kerjasama dalam Perikatan Nasional atau Muafakat Nasional.

Beliau turut menekankan bahawa dalam menghadapi ujian kemenangan, Muslimat PAS juga perlu terlibat dan mengambil peluang dengan mengkaji agensi-agensi yang berada dibawah kementerian Malaysia.

Beliau turut berharap agar semua yang hadir mengaplikasikan budaya kerja yang mengutamakan penyelesaian masalah berbanding mengikut emosi dan pemikiran masing-masing.

“Kita perlu memperbetulkan kefahaman politik dikalangan kaum wanita yang mempunyai kesedaran politik yang rendah, sentiasa mempromosikan kebaikan yang dibawa oleh PAS sebagai sebahagian dari pemerintahan”, tambah beliau lagi.

Dr Rosni juga juga menyatakan bahawa politik adalah kewajipan dari Allah dalam mentadbir urus kehidupan manusia dalam menuju redha Ilahi, Muslimat PAS perlu meletakkan diri dan memimpin wanita menuju keredhaan Allah serta dapat melahirkan ikon-ikon muslimat untuk memimpin wanita di luar sana.

Dengan lafaz Al-Fatihah, beliau merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah kali Ke-30 disaksikan hadirin yang datang dari 14 buah kawasan seluruh Sabah.

Turut hadir dalam majlis perasmian ini adalah, Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Orang Asal Dewan Muslimat PAS Malaysia, Norazlin Md Samsudin, Timbalan Persurujaya PAS Negeri Sabah merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Sandakan, Sahar Abdul Majid dan Yang Dipertua PAS Kawasan Batu Sapi, Ahmad Naufal.