Home Berita PAS Terengganu

TVDI mula bersiaran lapan jam sehari, lebih segar

104
SHARE

KUALA TERENGGANU – TV Darul Iman (TVDI) yang diuruskan oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) akan bersiaran lapan jam sehari dengan pengisian yang lebih segar untuk tahun 2023.

Pengarah UPDI, Mohd Soud Said@Ali berkata, program pada setiap hari Ahad hingga Khamis itu akan bersiaran seawal jam 8.00 pagi.

“Seiring dengan perkembangan terkini, semestinya gabungan penghasilan kandungan program yang berkualiti melalui platform teknologi terkini menerusi media sosial, pihak kami akan Cuba memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat.

“UPDI akan terus merencana pendekatan yang bijaksana dan berhemah dalam meningkatkan kefahaman rakyat dalam pelbagai sudut termasuk memahami pelaksaan sesebuah dasar dan inisiatif yang disediakan oleh kerajaan negeri, ” ujarnya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai program yang akan disediakan itu, ujarnya TVDI akan bermula dengan Kuliah Dhuha (Penawar Hati).

“Kemudian akan diteruskan dengan ‘Bicara Isu Semasa Bersama YB’, ‘Dok Kabor Dok Tahu’, Selamat Pagi Terengganu, Analisis TMBS.

“Diserikan lagi dengan Bicara Jabatan Kerajaan yang akan menampilkan ketua jabatan setiap agensi, atau mereka yang berautori bagi ditemuramah untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan bidang masing-masing.

“Kita juga akan ada segmen santai bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerusi ‘Hor Toh YB’, ‘ Edisi Terjah’ serta terakhir adalah ‘Rentasan Berita’,” katanya.

Tambah beliau, adalah besar hasrat dan impian UPDI untuk memastikan rakyat negeri ini akan dapat mengikuti segala program yang disediakan itu.

“Agar segala manfaat, kebaikan dan apa jua kebaikan yang dibawa dan dipaparkan sampai ke jiwa rakyat dalam memastikan Terengganu mencapai hasrat dan cita-citanya untuk melahirkan masyarakat yang sejahtera, bertepatan dengan slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera,” ujarnya lagi.