Home Artikel PAS Perak

Tujuh Sekolah Di Negeri Perak Diarah Tutup | Info Negeri Perak

873
SHARE
IPOH, 14 Oktober 2020 – Tujuh sekolah di Negeri Perak diarah tutup selama tujuh hari bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi dijalankan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil, YB Razman Zakaria berkata, ini adalah sejajar dengan pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkenaan arahan penutupan mana-mana sekolah yang mempunyai kes positif Covid-19 selama tujuh hari tanpa menunggu analisa risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Melalui Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, memutuskan untuk mengambil tindakan segera dengan menutup mana-mana sekolah yang mencatatkan kes Covid selama tujuh hari,” katanya.
Antara sekolah yang ditutup termasuk SMK King Edward VII, Taiping, SMK (P) Treacher Methodist, Taiping, SMK Bukit Jana, Kamunting, SK Taman Jana, Kamunting, SK Convent Kota, Taiping, SK Ulu Mengkuang, Selama dan SK Lekir Batu 8, Sitiawan.
Kesemua sekolah diminta untuk mematuhi arahan penutupan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perak.
“Mohon ibu bapa untuk tidak cemas dan panik dalam situasi terbaru ini serta memberi kerjasama dan mematuhi Prosesur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh MKN dan KKM bagi memutuskan rantaian Covid-19,” katanya menerusi siaran media pejabatnya hari ini.
Pihak sekolah juga diseru untuk mengambil inisiatif dengan melaksanakan sanitasi di premis masing-masing selain mengamalkan SOP kepada pelawat, ibu bapa, murid dan juga tenaga pengajar.
Sumber: Komunikasi Strategik Perak [Stratcom]