Home Artikel PAS Perlis

Tugas Ulamak Perkasakan Tarbiyah, Kekang Fahaman Yang Merosakkan

197 views
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KUALA TERENGGANU : Kerosakan fikrah yang berlaku dalam kalangan sebahagian pimpinan dan ahli pasca tahaluf bersama Pakatan Rakyat menjadi indikasi kepada kegagalan parti dalam membentuk kefahaman yang jelas terhadap ahlinya.

Tegas Mursyidul Am PAS Tuan Guru Hj. Hashim Jasin, kegagalan memahami makna wala’ hingga meninggalkan perjuangan di samping menularnya isme-isme yang menyesatkan dalam pemikiran ahli-ahli PAS menjadi sebahagian daripada perkara yang perlu dimuhasabah dengan bersungguh-sungguh oleh seluruh ulamak dalam PAS.

Justeru katanya, golongan ulamak mempunyai peranan yang amat besar dalam memperkasakan tarbiyah dalam parti bagi membentuk kefahaman yang murni terhadap ahli dan pimpinan serta bagi menyekat penularan gejala berkenaan daripada terus merebak dan melemahkan PAS.

“Apabila ahli-ahli kita menghadapi krisis kefahaman dan amal, kita mesti berpaling kepada diri kita sendiri sebagai para ulamak, untuk melihat sisi-sisi kekurangan dalam program tarbiyah kita.

“Kita bertanggungjawab untuk memulih dan memperkasakan seluruh gerakan tarbiyah parti agar kita dapat membangunkan kekuatan yang sebenar,” katanya.

Beliau memberikan ingatan tersebut ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat Kali ke-57 di Hotel Permai, Kuala Terengganu, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menggariskan dua tindakan yang perlu dilaksanakan oleh para ulamak iaitu memperbaiki dan meningkatkan kualiti tarbiyah ahli-ahli PAS serta membentuk kefahaman Islam yang mendalam dan menyeluruh kepada setiap rakyat negara ini.

Tambahnya lagi, rakyat di negara ini terbahagi kepada dua golongan dan pendekatan dakwah yang berbeza perlulah digunakan untuk mendekatkan mereka kepada Islam.

“Di hadapan kita ada dua golongan mad’u yang telah kita fahami iaitu orang-orang Islam yang lalai dan orang-orang bukan Islam, yang kedua-duanya menjadi sasaran dakwah kita.

“Bagi orang bukan Islam, pendekatan PAS melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS merupakan saluran terbaik untuk kita memberikan kefahaman kepada mereka tentang Islam.

“Terhadap orang-orang Islam, sama ada orang-orang awam yang tidak berparti mahupun berparti, gerakan untuk menanamkan kefahaman Islam kepada mereka mestilah diperluaskan,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyeru para ulamak agar menggunakan segala saluran yang ada termasuklah media baru di samping membangunkan pendekatan yang lebih strategik ke arah meningkatkan lagi keberhasilan dakwah yang dilaksanakan.