Oleh: Nur Hazwani Zabaniah
KANGAR : Menegakkan Islam dimuka Bumi Allah ini bukanlah hobi bagi mengisi masa lapang tetapi tanggungjawab kepada setiap Muslim, demikian tegas Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh.
Menurutnya, adalah menjadi kewajipan ke atas setiap Muslim untuk mendaulatkan segala peraturan yang telah diwartakan oleh Allah, bukannya (kewajipan tersebut) terbeban ke atas gerakan atau pertubuhan Islam semata-mata.
Memetik ayat ke 14 Surah As-Saff serta ayat ke 7 Surah Muhammad, beliau menyatakan mana-mana kumpulan umat Islam yang menyahut seruan memperjuangkan syariat Islam pasti akan mendapat ganjaran berupa pertolongan Allah S.W.T.
Justeru ujarnya, para pendukung PAS tidak seharusnya merasa lemah apatah lagi berputus asa kerana penatnya berjuang, sebaliknya melipatgandakan gerak kerja dengan penuh semangat kerana yakin dengan janji-janji Allah S.W.T.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taujihat sempena Gelombang Akifi 9.0 yang berlangsung di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) pada 28 Disember yang lalu.
Selain itu, beliau turut menjelaskan betapa PAS komited memperjuangkan Islam sedari awal penubuhannya, menerusi pelbagai program dan gerak kerja tarbiyah, dakwah serta siasah.
Berbeza dengan Umno ujarnya, yang turut mengaku memperjuangkan Islam, namun pada masa yang sama sering menolak pelaksanaan syariat Islam dengan pelbagai alasan.
“Contohnya, Rang Undang-undang 355 yang telah dibentang oleh Tuan Guru Haji Hadi Abdul Awang di Parlimen, sepatutnya mendapat sokongan sepenuhnya serta bersemangat dari pihak kerajaan Umno,” katanya.