Home Berita PAS Terengganu

Tradisi Tionghoa sebahagian kehidupan saya – Tok Guru Abdul Hadi

367
SHARE

MARANG – Tradisi diamaljan masyarakat Tionghoa adalah sebahagian daripada kehidupan Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang meraikan sambutan Tahun Baru Cina saban tahun.

Katanya, datuk beliau mempunyai ramai anak angkat daripada kaum itu, sama ada mereka kembali kepada fitrah atau sebaliknya, tetap menjadi bahagian dalam keluarga.

“Ketika berlaku Perang Dunia Kedua, terdapat pelarian Cina yang datang ke Pantai Timur, datuk saya pernah menyelamatkan seorang pelarian Cina bukan Islam dan disembunyikan di kebunnya, ketika itu beliau merupakan seorang penghulu kampung.

“Kebetulan pula salah seorang menantu saya sendiri daripada kaum Cina, menunjukkan hubungan keluarga kami dengan masyarakat kaum Cina bukanlah perkara baru”, ujar beliau melalui satu hantaran di laman sosialnya semalam.

Beliau turut menyeru buat semua rakyat Malaysia agar menjadikan perayaan ini sebagai salah satu cara untuk saling mengeratkan lagi silaturahim serta perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan kaum di tanah air tercinta ini.

“Selepas Majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur bersama pimpinan PN dan GERAKAN pagi tadi, saya terus pulang ke Kampung Rusila bagi meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama anak menantu sekeluarga,” katanya.