TELUK INTAN: Sumbangan hari raya untuk guru-guru dan kakitangan sektor pendidikan dibawah tadbir urus Dewan Pemuda PAS Kawasan Teluk Intan merupakan program tradisi tahunan yang diteruskan lagi pada tahun ini.
Program yang dinamakan sebagai Liqa Pendidik dengan kerjasama Lajnah Pendidikan PAS Kawasan Teluk Intan itu telah berlangsung di Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI), pagi tadi.
Menurut Ketua Pemudanya, Nurhafizul Badrul Hisham, kesemua guru dan kakitangan di 10 PASTI cawangan dan 1 SRITI Al-Falah kawasan Teluk Intan telah menerima sumbangan berkenaan.
“Diharap sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada guru-guru bagi membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Mereka telah banyak berkorban masa dan wang ringgit untuk mendidik anak-anak tunas Islam dalam melahirkan insan soleh pintar, Rabbani dan Murabbi,” jelasnya lagi.
Turut hadir dalam program tersebut, Ketua Lajnah Pendidikan PAS Kawasan Teluk Intan, Mahyuddin Yusof dan ahli jawatankuasa DPPKTI.