Home Berita PAS Pahang

TPM turun padang, rakyat kecewa Kerajaan negeri bersikap sambil lewa  

975
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

KUANTAN – Timbalan Perdana Menteri telah turun padang melihat keadaan jambatan runtuh di Felda Selancar pada Februari 2023, namun tindakan Kerajaan Negeri Pahang dalam usaha membina jambatan kekal dua hala sehingga kini masih belum terlaksana.

“Meskipun Timbalan Perdana Menteri telah turun padang untuk menilai situasi dan memberi perhatian terhadap masalah ini, namun pembangunan jambatan kekal yang dijanjikan masih belum dilaksanakan lagi,”kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang Ahmad Azlan Abu Bakar di media sosialnya semalam.

“Kerajaan negeri digesa tidak mengambil sikap sambil lewa, perlu segera menggerakkan usaha pembinaan jambatan kekal dengan dua lorong untuk memastikan kehidupan penduduk gugusan Felda Selancar dapat berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

“Walaupun Jambatan Bailey memberi sedikit kelegaan, namun kapasiti satu lorong memang jelas tidak dapat menampung jumlah kenderaan yang melintasinya terutama ketika musim perayaan atau waktu kemuncak, kesesakan yang berlaku amat mencabar, memperlihatkan betapa terdesaknya keperluan untuk membina jambatan kekal di situ,” ujar beliau.

Jambatan sementara tersebut dibina bagi menggantikan jambatan utama yang runtuh akibat limpahan air deras yang mengakibatkan terputusnya hubungan Felda Selancar dan Perwira Jaya di Rompin pada Februari 2023.

Justeru itu katanya, situasi ini mencerminkan Kerajaan negeri telah gagal untuk bertindak secara efektif dan segera dalam menangani masalah infrastruktur yang penting bagi kesejahteraan rakyat.

“Kegagalan ini turut mencerminkan kekurangan koordinasi antara pihak Kerajaan negeri dengan agensi Kerajaan pusat yang bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah infrastruktur kritikal.

“Lebih membimbangkan, ia menunjukkan ketidakcekapan pihak berkuasa dalam merancang dan melaksanakan projek jangka masa panjang yang melibatkan infrastruktur bagi menyelesaikan masalah rakyat yang dialami hampir dua tahun.

“Ketidakcekapan dalam menangani isu ini hanya akan mengundang lebih banyak kemarahan dan kekecewaan rakyat terhadap pihak berkuasa yang gagal memenuhi tanggungjawab mereka.

“Jangan sampai ada lagi nyawa yang melayang akibat kelalaian dan sikap acuh tak acuh kerajaan dalam menyelesaikan isu ini,” tambah beliau lagi.