Pengumuman Kerajaan mengenai pelaksanaan #totallockdown akibat peningkatan kes yang membimbangkan sememangnya perlu sebagai salah satu ikhtiar melawan penularan wabak COVID-19.
Namun, satu sudut ikhtiar lagi yang kita mesti usahakan ialah kembali kepada jalan hidup yang Allah redhai. Bukankah setiap ujian termasuklah virus ini datangnya daripada Allah SWT, dan kepadaNya kita harus kembali bergantung harap.
Firman Allah dalam Surah Al-An’am ayat 42 yang bermaksud:
“…maka Kami seksakan mereka dengan kemiskinan dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat”
Kita boleh mengambil contoh negara Brunei yang pemimpin dan rakyatnya bersama-sama kembali kepada Allah dan membudayakan Al-Quran, alhamdulillah penularan wabak di sana dapat dikawal dengan baik.
Pihak kerajaan juga dicadangkan untuk mengalakkan seruan kerohanian kepada rakyat. Jika di awal pandemik dahulu kita mengadakan solat hajat serentak, mungkin kali ini boleh ditambahbaik dengan solat taubat, kempen #MalaysiaBeristighfar dan seumpamanya.
Dalam fasa ‘lockdown’ ini juga, pastinya masa banyak dihabiskan di hadapan televisyen atau ‘gadjet’ masing-masing. Stesen-stesen penyiaran boleh memainkan peranan untuk menghidangkan rancangan-rancangan yang mendekatkan penonton kepada agama dan tidak berunsur maksiat seperti siaran zikir, doa-doa dan bacaan Al-Quran.
Mereka boleh mengambil contoh TV AlHijrah yang berjaya menyiarkan rancangan #MyQuranTime sejak awal penularan pandemik tahun lalu dan berterusan sehingga kini. Begitu juga dengan Radio Televisyen Brunei yang turut menyediakan rancangan berunsur keagamaan.
Selain platform penyiaran, pihak kerajaan juga boleh memainkan peranan dengan menyekat akses ke laman-laman lucah dan tidak bermoral di internet yang telah dilaporkan semakin banyak diakses oleh masyarakat kita terutama dalam fasa PKP.
Penggiat-penggiat media sosial dan ‘influencers’ juga boleh menyediakan ‘content’ yang berfaedah kepada pengikut masing-masing di laman sosial agar aplikasi-aplikasi media sosial yang ada dibanjiri dengan perkara-perkara yang bermanfaat.
Sebagaimana kita berikhtiar dengan #totallockdown dan pengambilan #vaksin serta bantuan-bantuan ekonomi, perbanyakkan juga ingatan kepada Yang Esa sebagai ikhtiar spiritual kita.
Semoga dengan ikhtiar, doa dan tawakkal kita kepada Allah, wabak ini dapat segera diangkat daripada bumi ini dalam keadaan kita semua kembali kepada Allah dan diredhai olehNya.
Siiru ‘ala barakatillah
#MalaysiaBeristighfar
#MalaysiaCekal
Islam Memperkukuh Perpaduan
Wilayah Sejahtera
USTAZ AZHAR YAHYA
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP)
31 Mei 2021 l 18 Syawal 1442H