Home Artikel PAS Perlis

Tolak Budaya Fitnah, Bersama-sama Bangunkan Negara

545
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

ARAU : Rakyat digesa agar tidak terpengaruh dengan siri fitnah yang bertali arus yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu bertujuan mengganggu-gugat kestabilan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim, sejak semalam, pelbagai maklumat tidak benar telah disebar secara berleluasa menerusi media-media sosial, bertujuan mengelirukan dan menimbulkan keresahan rakyat.

Usaha ini katanya, dilakukan oleh segelintir pihak yang kecewa dengan pemilihan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri Malaysia yang ke-8 oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Perbuatan sebegini (menyebarkan fitnah) hanya akan menyebabkan negara ini terus terjebak dalam krisis yang berpanjangan dan kesannya nanti akan terpaksa ditanggung oleh rakyat.

“Seri Paduka juga telah bertitah bahawa ini adalah keputusan terbaik untuk semua rakyat Malaysia dan baginda telah menzahirkan harapan agar kemelut politik ini berakhir.

“Justeru, saya menyeru kepada seluruh lapisan masyarakat agar dapat bersama-sama dengan kerajaan dalam memacu negara ke arah yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri Ke-8 semalam, telah mengakhiri kemelut politik yang melanda negara sejak seminggu lalu.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.