Home Melaka

Tips kepimpinan | Pemimpin yang tiada idea adalah bencana kepada organisasi

203
SHARE

Oleh IBNU JANIE

KETUA bagi sesuatu organisasi, tidak kira sama ada organisasi perniagaan, politik, jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), atau pun ketua bagi sesebuah keluarga adalah pemimpin.

Sebagai pemimpin, sebaik ‘ditabalkan’ sebagai pemimpin, mereka harus mempunyai perancangan peribadi ke mana dia akan membawa organisasi yang dipimpinnya itu.

Perancangan peribadi ini bukan merujuk kepada ‘kepentingan peribadi’ atau niat tersirat yang serong untuk mengambil faedah peribadi daripada jawatannya itu. Bukan. Perancangan peribadi bermaksud idea yang difikirkannya sendiri bagaimana dan ke mana dia ingin membawa organisasi yang sedang dipimpinnya itu.

Ada yang kata “Eh, pemimpin yang demokratik kena buat perancangan dengan mendengar dan mengambilkira pendapat anggota organisasi yang lain!”

Iya, itu benar. Namun, walau pun biasanya sesuatu organisasi biasanya akan mengadakan ‘retreat‘ atau ‘brainstorming‘ untuk membuat perancangan secara bersama, namun pemimpin harus mempunyai ideanya sendiri bagaimana organisasi yang dipimpinnya itu akan berjalan sebagai asas perancangan.

Idea peribadi seseorang pemimpin itu akan menjadi penampung sekiranya pengikut-pengikut mereka gagal menyumbangkan idea-idea yang baik untuk meningkatkan imej dan kecemerlangan organisasinya. Malah dalam banyak situasi pengikut-pengikut sangat bergantung dengan idea-idea daripada pemimpin mereka.

Bayangkan jika seseorang pemimpin yang tiada idea dan mengharapkan idea daripada pengikut-pengikut mereka semata-mata. Kemudian pengikut-pengikut mereka juga tidak mempunyai idea yang baik dan mengharapkan pemimpin mereka memberi idea. Maka pemimpin dan pengikut sama-sama terjun laut!

Samada seseorang itu dipilih oleh pengikutnya dalam pemilihan seperti seorang Presiden sesebuah parti politik atau NGO, atau pun seorang Pengurus Besar yang dilantik oleh Lembaga Pengarah syarikat ke jawatan itu, mereka sebenarnya dipilih atau dilantik kerana kebijaksanaan mereka. You are appointed or elected for your brain’.

Sekiranya seseorang pemimpin yang dilantik atau dipilih itu sekadar menunggu idea dan arahan daripada orang lain lebih baik letak pasu bunga saja jadi pemimpin!.

Sewajarnya, seseorang pemimpin mesti lebih cerdik dan lebih pintar daripada pengikut mereka. Sungguh pun seseorang pemimpin itu tidak semestinya yang paling cerdik dalam sesuatu organisasi, namun pemimpin sepatutnya adalah dalam kalangan orang-orang yang cerdik di dalam sesuatu organisasi itu.

Cerdik ini pula bukan semestinya merujuk kepada sijil atau ijazah. Cerdik sebagai pemimpin ini bermaksud pemimpin itu harus mempunyai kebijaksanaan dalam membuat keputusan dan mempunyai banyak idea untuk membawa organisasinya ke arah kecemerlangan. Namun memiliki kelulusan yang tinggi juga adalah satu kelebihan.

Idea-idea peribadi asal yang ada dalam kepala seseorang pemimpin tentang halatuju dan bagaimana mereka mahu membawa organisasi mereka inilah yang dipanggil VISI.

VISI peribadi mereka ini akan digarapkan dengan mengambilkira pandangan pengikut-pengikutnya dalam organisasinya itu yang akhirnya akan menjadi VISI rasmi organisasi.

Pemimpin yang hebat harus tahu ke mana mereka ingin bawa organisasi mereka. Ingat, pemimpin yang tiada visi adalah bencana kepada sesuatu organisasi.

Penulis adalah Ketua Editor Berita PAS, Jabatan Penerangan PAS Pusat dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka.