Home Berita PAS Perlis

Tingkatkan Profesionalisme Guru PASTI Menerusi Pembelajaran Sepanjang Hayat

979
SHARE

Oleh : Muhammad Hadi

SIK : Guru-guru Pelatih PASTI disarankan agar membudayakan pembelajaran berterusan bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran mereka.

Ini bagi memastikan tahap profesionalisme mereka sentiasa berada pada tahap tertinggi selaras dengan standard yang telah ditetapkan oleh PASTI Malaysia.

Menurut Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Nurul Amin Hamid, aktiviti pembelajaran yang sebenarnya adalah proses yang seharusnya berlaku sepanjang hayat dan tidak terhenti setelah menamatkan pengajian.

Ujarnya, perkembangan dunia pendidikan yang semakin pesat membawa bersama pelbagai ilmu dan teknologi baru untuk diterokai, justeru golongan yang malas belajar akan mendapati diri mereka terus ketinggalan manakala ilmu yang mereka miliki pula tidak lagi relevan.

Beliau berkata demikian di hadapan seramai 136 orang Guru Pelatih PASTI ketika merasmikan majlis penutup Kursus Semester 6 Diploma Kanak-kanak (DPAK) Zon Utara di Kolej KEDA, Sik, pada 4 Ogos yang lalu.

Menurutnya, PASTI kini merupakan menjadi institusi pendidikan awal kanak-kanak yang paling pesat berkembang disebabkan keyakinan masyarakat yang semakin meningkat.

Justeru katanya, para guru PASTI mestilah sentiasa memelihara personaliti dan ketrtampilan diri masing-masing serta menjaga imej PASTI yang kini sudah mencecah angka 4000 cawangan di seluruh negara.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua guru pelatih yang menunjukkan kesungguhan dalam menyempurnakan segala tugasan yang diberi serta berharap agar semua peserta berjaya menamatkan pengajian dan memperolehi diploma masing-masing pada tahun hadapan.