Home Kenyataan Media PAS Selangor

TINDAKAN PEGUAM NEGARA TIDAK MASUK AKAL, SILA LETAK JAWATAN

1412
SHARE

KENYATAAN MEDIA PAS SELANGOR

YB DATO DR AHMAD YUNUS HAIRI
PESURUHJAYA PAS SELANGOR

TINDAKAN PEGUAM NEGARA TIDAK MASUK AKAL, SILA LETAK JAWATAN

  1. Tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas yang memberhentikan prosiding terhadap 12 individu tertuduh dalam mana-mana 34 pertuduhan berkaitan kumpulan militan, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah satu tindakan yang tidak masuk akal dan mengejutkan semua pihak.
  2. Tindakan tersebut yang dilaksanakan atas budi bicaranya berkuat kuasa semalam, 21 Februari 2020 seakan mencabar kewibawaan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi kawal selia atau pengawasan yang berkaitan. Ini kerana penahanan 12 individu tertuduh tersebut adalah berdasarkan dapatan bukti-bukti tertentu lagi dipercayai yang mengakibatkan mereka di tahan di bawah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan ditempatkan di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu perbicaraan.
  3. Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri pada hari ini turut mempertikaikan tindakan Peguam Negara apabila mencampuri urusan dan bidang kuasa Menteri Dalam Negeri. Pihak KDN secara tegasnya memaklumkan bahawa, sehingga kini kumpulan militan, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) masih lagi dikategorikan sebagai kumpulan pengganas.
  4. Sikap Peguam Negara ini mesti diambil tindakan tegas. Jika dibiarkan begitu sahaja, dibimbangi Malaysia bakal menjadi sarang merekrut pengganas di masa hadapan. Kebimbangan ini adalah berasas kerana penahanan 12 individu tertuduh sebelum ini adalah berdasarkan pertuduhan mereka dalam memberikan sokongan kepada LTTE dalam suatu majlis, memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam media sosial dan pertuduhan memiliki, mengedar dan memaparkan bahan-bahan berkaitan LTTE.
  5. Hakikatnya, tindakan pembebaskan 12 tertuduh yang penuh dengan bukti sokongan kepada LTTE tersebut telah pun mencalarkan imej negara Malaysia di mata dunia kerana secara tidak langsung menjadikan Malaysia sebagai “tempat berselindung dan pembiakan” sarang pengganas LTTE yang berbahaya. Sedangkan sebelum ini Malaysia merupakan negara yang kuat kempen dalam menentang kumpulan pengganas namun hanya indah khabar dari rupa apabila tuduhan berkaitan LTTE diberhentikan begitu sahaja.
  6. Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor (BPPNS) mengecam tindakan Peguam Negara yang tidak masuk akal tersebut. Demi menjaga keharmonian dan keselamatan serta undang-undang negara agar tidak dicabuli sewenang-wenangnya, BPPNS juga mendesak Peguam Negara untuk meletakkan jawatan dengan berundur secara hormat atas tindakannya yang mengundang bahaya besar terhadap negara Malaysia. Jika tidak, negara Malaysia akan terdedah kepada bahaya dan bakal menjadi sarang pengganas.

28 Jamadul Akhir 1440H | 22 Februari 2020