Home Berita PAS Perlis

Timbalan menteri, MB hadiri Rumah Terbuka Aidilfiri PAS Perlis

95
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 24 Mei: Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Perlis yang diadakan semalam menyaksikan kehadiran beberapa pemimpin utama kerajaan serta parti-parti politik.

Antaranya, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Solahuddin Hashim dan Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man yang hadir bersama barisan exco kerajaan negeri.

Turut hadir, AJK PAS Pusat, Ustaz Yusni Mat Piah, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Mohd Fauzi Yusof, Penasihat BERSATU Perlis, Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad dan Pengerusi BERSATU Negeri Perlis, Abu Bakar bin Hamzah.

Pelbagai juadah disediakan pada acara yang berlangsung di Kompleks PAS Negeri Perlis (KOMPAS) itu, antaranya nasi campur, ketupat, bihun sup dan sate.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd. Shukri Ramli yang ditemui menyifatkan kehadiran para jemputan daripada pelbagai parti politik membuktikan sambutan Aidilfitri di negara ini tetap meriah merentasi fahaman politik.

“Bagi pihak Badan Perhubungan PAS Negeri Perlis, kami amat bersyukur dan berterima kasih atas kehadiran semua jemputan, khasnya YAB Menteri Besar Perlis bersama barisan exconya yang sudi bertandang ke sini (KOMPAS).

“Selain itu, kedatangan para pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat serta kaum yang memenuhi perkarangan KOMPAS sejak pagi lagi turut menambah seri acara pada hari ini (semalam),” katanya.