Home Berita PAS Perak

Tidak duduk dalam jamaah jadi punca pertelingkahan

227
SHARE

Oleh Mohd Syamil Azhar

LENGGONG: Pertelingkahan dan perselisihan yang berlaku di kalangan sebahagian ulamak, adalah berpunca daripada keengganan mereka untuk duduk di dalam jamaah.

Ketua Dewan Ulamak PAS Perak, Ustaz Zulkifli Zakaria, berkata apabila kalangan ustaz dan ustazah tidak berada dalam jamaah, itulah yang menyebabkan keadaan menjadi bercelaru.

Katanya, ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah ada pusat pengajian masing-masing dan mereka ada yang lepasan Madinah, Mesir, Jordan, Yaman, Sudan, Pakistan dan lain-lain, tetapi apabila mereka berada dalam jamaah, kita lihat tidak ada Pertelingkahan dan perselisihan.

“Kita tengok dalam PAS, dalam Dewan Ulamaknya, dalam Majlis Syuranya, kita tengok masing-masing ada pusat pengajian sendiri, masing-masing ada tempat belajar sendiri, ada yang keluar dari Madinah, ada yang dari Mesir, Jordan, Yaman, Sudan, Pakistan dan lain-lain.

“Tapi apabila mereka duduk di dalam jamaah (PAS), in syaa Allah tak berlaku pertelingkahan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Penubuhan Dewan Ulamak PAS Kawasan Lenggong (DUPKL) di Markaz Tarbiah PAS Lenggong di Lubuk Kawah baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Penaja DUPKL, Ustaz Mohamad Husairi Ariffin, Ketua Dewan Pemuda PAS kawasan, Ustaz Muhammad Rifa’at Razman, Ketua Dewan Muslimat kawasan, Salmiah Abdul Razak dan Pengerusi Lajnah2 Tarbiah dan Perkaderan PAS kawasan, Muhammad Suaid.

Zulkifli yang lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Ibrahim, berkata apa yang sering kita dengar berlakunya Pertelingkahan dan perselisihan ini, datangnya dari luar, ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah luar, yang tidak duduk di dalam jamaah.

Justeru itu, beliau menyeru ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah yang berada di luar supaya menyertai PAS untuk sama-sama berganding bahu memperjuangkan Islam, bukan untuk terus meneruskan menyalahkan orang itu orang ini.

Sementara itu, Ustaz Husairi, Ustaz Muhammad dan Ustaz Muhammad Rifa’at terpilih sebagai Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua DUPKL bagi sesi 2021-2023 apabila menang tanpa bertanding dalam mesyuarat agung penubuhan dewan berkenaan.