Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Teruskan Langkah Mengejar Impianmu

979
SHARE

Teruskan Langkah Mengejar Impianmu

Allah Ta’ala berfirman: “Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya), dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” ( Surah al-Anbiya’, ayat 21:35)

Detik yang ditunggu, saat yang dinanti-nanti buat calon-calon Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bakal diumumkan hari ini.

Walau apa jua keputusan yang bakal digenggam hari ini, teruskan melangkah dan melakar impian yang diidamkan. Peperiksaan hanyalah sebuah medan ujian untuk menguji tahap kemampuan dalam bidang akademik, namun ia juga sebagai medan untuk anak-anak mengorak langkah lebih jauh untuk meneruskan kehidupan yang mendatang.

Setiap kita punya potensi diri, kelebihan yang istimewa dan mampu untuk pergi lebih jauh. Justeru, tanamkan azam, rancang matlamat dan terus tekad berusaha untuk mencipta kejayaan demi kejayaan serta sentiasa meningkatkan segala kemahiran, menambahkan ilmu dan seterusnya beramal dengan ilmu untuk manfaat sejagat.

Dewan Muslimat PAS Malaysia merakamkan ucapan tahniah buat seluruh calon-calon PT3 yang telah berusaha dengan gigih, tekun dan inilah hasil di atas segala pengorbanan yang telah dituai selama ini. Salam perjuangan buat anak-anak pemimpin negara, semoga anda menjadi permata untuk ummah dan mencipta sejarah yang gemilang dalam hidup.

Apabila dirimu diberikan ujian, ketahuilah dirimu bahawa Allah menyayangimu, kerana itulah dia memberikan dugaan dan ujian itu semua. “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya mengatakan “kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji? Dan sungguh Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang berdusta,” (Surah Al ‘Ankabut: 2-3)

“Sejahtera Bersama Islam”

“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
25 Rabiul Awwal 1439H
14 Disember 2017