Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Terus Melangkah Generasi Muda

733
SHARE

Selamat Hari Belia Negara 2017, 15 Mei 2017

1. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Kahfi yang bermaksud
Maksudnya: “Kami ceritakan kepadamu hal mereka dengan benar, sesungguhnya mereka itu pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka semasa mereka bangun lalu berkata: Tuhan kami ialah Tuhan yang menciptakan dan mentadbirkan langit dan bumi, kami tidak akan menyembah tuhan yang lain selain-Nya, jika tidak bermakna kami memperkatakan sesuatu yang jauh dari kebenaran.” [Surah Al-Kahfi : 13-14]

2. Pemuda hari ini adalah pemimpin hari esok. Baiknya masa depan suatu masyarakat dapat kita lihat pada bagaimana generasi muda mereka hari ini? Justeru, Umar bin Khattab RA pernah berkata maksudnya: “Hendaklah kamu berilmu sebelum kamu memimpin. ”Ketetapan Allah sentiasa tepat. “Aku adalah anak panah-anak panah Islam. Campaklah aku kemana sahaja, akan aku tetap perjuangkan Islam” Saad Bin Abi Waqas.

3. Generasi muda adalah kekuatan sekaligus kebanggaan suatu umat atau negara. Maju sebuah negara atau sebuah bangsa dapat diketahui dengan melihat generasi muda saat ini. Bila generasi mudanya baik, maka masa depan umat dan bangsa tersebut adalah baik. Sebaliknya bila generasi mudanya rosak maka masa depan umat dan bangsa itu adalah suram.

4. Walau bagaimanapun, realitinya generasi muda hari ini menghadapi kehidupan yang kian mencabar seiring peredaran zaman teknologi dan arus pemodenan. Isu seperti pengaruh hedonisme, peningkatan kos sara diri, kelemahan penekanan aspek rohani dalam pendidikan dan lain-lain menggugat jati diri anak muda Islam sejati.

5. Anak muda kini perlu yakin bahawa sejahtera hanya bersama Islam. Kisah Ashabul Kahfi yang tercatat dalam Al-Quran adalah salah satu model generasi muda yang tidak terpengaruh oleh zaman yang dilanda kerosakan iman dan moral. Begitu juga, para nabi seperti Nabi Ibrahim, Nabi Musa, dan Nabi kita Muhammad SAW. Figur-figur ini istiqamah dengan kebenaran dan berjuang untuk membawa perubahan terhadap zaman mereka.

6. Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengucapkan selamat menyambut Hari Belia Negara 2017 kepada semua generasi muda pewaris masa depan negara. Ayuh! Anak muda perkasakan ilmu di dada, hiaskan akhlak pekertimu, harus bijak memilih teman, terus berdakwah amar ma’aruf nahi mungkar. Pasakkan Islam dalam segenap perilakumu, insyaallah semoga Allah sentiasa mengiringi tiap langkah perjuangan kalian! Selamat berjuang wahai anak muda!

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
18 Syaaban 1438H
15 Mei 2017

 

{jathumbnail off}