Home Berita PAS Pahang

Terjejas PKP | ADUN Panching ajak masyarakat kongsi rezeki

323
SHARE

Oleh: AZAHARI B.A.

PANCHING, 13 Jun: Apabila kerajaan melanjutkan lagi tempoh PKP, sudah tentu ada pihak yang terkesan dengan penguatkuasaan itu. Dalam pada hampir sebahagian besar rakyat merasai kesan tersebut, tentulah ada di antaranya yang terjejas lebih teruk dari yang lain dan berada di dalam kesempitan dan kesusahan.

Oleh yang demikian, mereka yang dihimpit kepayahan lebih dari yang lain itu perlulah dibantu oleh mereka yang kurang terjejas.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Panching Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya mengajak ahli masyarakat yang tidak terjejas sumber pendapatan agar berkongsi rezeki yang mereka miliki untuk membantu meringankan beban yang dirasai oleh sebahagian anggota masyarakat akibat PKP. Antaranya ialah warga yang terjejas bahan-bahan makanan dan keperluan dapur.

Menurutnya, walaupun Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Panching yang di bawah kendaliannya sentiasa menyalurkan sumbangan kepada anggota masyarakat yang terhimpit itu, namun masih belum mencukupi untuk meliputi semua penduduk berkenaan di sekitar DUN Panching dan termasuk warga Parlimen Paya Besar yang beliau juga adalah Yang Dipertua PAS Kawasan tersebut.

Katanya, barangan yang sering diperlukan adalah seperti beras, telur, sardin, gula, tepung, biskut, bawang, ikan bilis, teh/kopi dan selainnya. Dalam tempoh PKP semua barangan ini diagihkan kepada para penerima yang layak hampir setiap hari.

Ustaz Tarmizi berharap sumbangan barangan tersebut boleh dihantar terus ke PKM yang terletak berhadapan Sekolah Kebangsaan Permatang Badak.

Orang ramai boleh juga menyalurkan sumbangan kewangan melalui akaun:
06010004266719
PUSAT KHIDMAT MASYARAKAT ADUN PANCHING
BANK MUAMALAT

Pihaknya juga memaklumkan andai ada yang terkesan atau sangat memerlukan bantuan, hubungilah pusat operasi tersebut di talian bernombor 0162640448/0139396094.

Ustaz Tarmizi mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada yang telah menyumbang. Beliau mendoakan semoga kita semua diberi kesihatan dan kesejahteraan. Moga Allah jauhkan kita dari jangkitan Covid-19.

Video oleh: Media YB Tarmizi