Oleh: Aizal Samsaruddin
6 November 2022
KUNAK: Keluarga mangsa banjir Kampung Tun Fuad menzahirkan rasa pilu dan sebak disebabkan banjir yang mengakibat banyak peralatan rumah rosak.
Sumiati Sekko, 69, menghargai usaha PAS memberi sumbangan dan bantuan kepada mereka.
“Saya tidak tahu macam mana mahu cakap. Saya cuma mampu cakap terima kasih kepada kamu yang telah bantu kami,” katanya ketika ditemui pemberita.
Menurutnya, dia berasa terharu kerana PAS sentiasa peduli dengan nasib rakyat yang dilanda bencana.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Ramli Pataruddin berkata, setiap musibah yang melanda ini adalah ujian dari Allah.
“Banyakkan bersabar dan berdoa kepada Allah supaya ujian yang menimpa kita ini dapat memberikan sedikit keinsafan dalam diri kita,” katanya yang juga Yang Dipertua PAS Lahad Datu ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa di sini, pagi tadi.
Turut hadir dalam serahan sumbangan tersebut ialah, Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan Dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Sabah, Nur Izzati Yusof serta beberapa jawatankuasa LKK PAS kawasan.
Terdahulu, seramai 66 penduduk daripada 13 keluarga di Kampung Airport Tun Fuad, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air awal pagi Isnin lalu.
Mangsa sudah pulang ke rumah untuk proses pembersihan selepas air mula surut.