Home Berita PAS Wilayah

Calon Perikatan Nasional Batu Tawar Kerajaan Bersih Dan Stabil

193
SHARE

Oleh Dhiya’ Muttmainnah

BATU, 6 November: Calon PERIKATAN NASIONAL Parlimen Batu, Ustaz Azhar Yahya giat menerangkan tawaran ‘BEST‘ iaitu bersih dan stabil kepada masyarakat setempat yang bakal diangkat Kerajaan PERIKATAN NASIONAL jika dipilih sebagai kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Ustaz Azhar, kewibawaan pentadbiran Kerajaan PERIKATAN NASIONAL boleh dilihat melalui kepimpinan Kerajaan PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang berjaya mengekalkan prestasi baik sepanjang pemerintahan.

“Satu fakta yang tidak dapat dinafikan adalah tentang rekod pemerintahan PAS di Kelantan yang bersih tanpa rasuah walau sudah lebih 30 tahun menjadi kerajaan negeri. Manakala, pemerintahan PAS di Terengganu pula penuh dengan kekuatan serta profesionalisme.

“Di Kedah pula, kemasukan pelaburan terbesar di Malaysia ekoran keyakinan pelabur-pelabur terhadap kestabilan pemerintahan PAS di negeri tersebut.

“Maka inilah kerajaan yang kita mahu bentuk iaitu bersih dan stabil!”, katanya semasa turun mengedarkan risalah berkaitan tawaran tersebut bersama petugas PERIKATAN NASIONAL di Pasar Batu 5, Pasar Setul dan UTC Sentul pagi ini.

Ustaz Azhar merupakan Pengarah Kanan, Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita YADIM serta Penolong Rektor 2 Bahagian Hal Ehwal Pelajar KUIZM.

Beliau juga merupakan ahli Haiah Al-Ulamak, Jabatan Mufti Perak dan Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Penasihat Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Parlimen Batu.

19 November ini, Ustaz Azhar berdepan pertandingan 10 penjuru di Parlimen Batu, dicabar penyandang kerusi Parlimen Batu, bekas Naib Presiden PKR Tian Chua (Bebas), P Prabakaran (Pakatan Harapan), Datuk A Kohilan Pillay (Barisan Nasional), Wan Azliana Wan Adnan (Gerakan Tanah Air),  P Naganathan (Parti Warisan), Peguam Siti Zabedah Kasim dan Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin serta dua calon Bebas.