Home Berita PAS Terengganu

Terengganu tunai manifesto ke 15: Pusat pemulihan dadah holistik Beroperasi

214
SHARE

Oleh : Husaif Mamat

MARANG, 16 Jun – Pusat Pemulihan Dadah Holistik atau Perkampungan Darul Barakah telah beroperasi selepas pengambilan pelatih sesi pertama dibuka bermula semalam.

Pengurus perkampungan terbabit, Alif Mahari berkata, kerajaan negeri kini berada di landasan tepat untuk mengurang dan membasmi masalah penagihan dadah susulan pelaksanaan salah satu manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 itu.

Katanya, pada hari pertama pendaftaran semalam seramai hampir 10 peserta telah mendaftar dan beliau yakin bilangan itu akan meningkat berikutan proses itu masih dibuka sehingga ke tarikh yang diberitahu kelak.

“Konsep asas pusat pemulihan dadah holistik ini ialah mereka yang berkampung di sini hadir secara sukarela dan mereka serius mahu berubah.

“Ketika mereka di sini, pelatih akan dididik dengan pelbagai pengisian termasuk ilmu dunia dan akhirat, dalam masa yang sama mereka juga akan diberi peluang untuk membina kerjaya seperti dalam bidang pertanian dan penternakan dengan kelebihan kem yang berkeluasan melebihi 40 ekar,” katanya kepada UPDI.

Mengulas lanjut, pusat yang diselia Yayasan Islam Terengganu (YIT) itu menyasarkan 50 bekas penagih untuk fasa pertama.

“Ini komitmen kita untuk menyelesaikan masalah penagihan dadah, kerana penagih baru sentiasa lahir bermula daripada bangku sekolah rendah.

“Melihat perkara itu Terengganu menjadi negeri pertama membuka pusat pemulihan dadah holistik di bawah naungan mereka sendiri,” jelasnya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah memberitahu, pusat itu tidak sama seperti penjara sebaliknya ia berpontensi besar membantu golongan terlibat untuk kembali ke pangkal jalan sepenuhnya.

Katanya, projek yang bertempat di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Cenderawasih, Cador, Marang itu telah disusun dengan sistem dan silibus terbaik melibatkan pelbagai badan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia dan YIT.

“Suasana yang akan mereka lalui di sini adalah seperti pengajian pondok, bukannya seperti di penjara, ia sebaliknya menjadi tempat yang menceriakan serta akan hidup seperti orang lain yang kita khususkan kepada anak-anak sesiapa yang terlibat dengan masalah penyalahgunaan dadah,” tambah beliau.

Untuk rekod, pada Mei 2021 kerajaan negeri telah mengumumkan 14 daripada 20 manifesto telah dilaksanakan, Pusat Pemulihan Dadah ini merupakan manifesto ke-15 yang ditunaikan.