KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri mahu terus menyemarakkan slogan ‘Indahnya Hidup Besyariat’ sebagai moto bagi meninggikan agenda pemerkasaan syariah.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perkara itu menjadi matlamat kerajaan negeri sebagai usaha berterusan menyebarkan dakwah dan mengajak rakyat ke arah kebaikan.
“Fokus utama pelaksanaannya adalah bagi memupuk kesedaran dan melantun keinsafan seluruh rakyat negeri Terengganu tentang peri pentingnya pelaksanaan dan pembudayaan hidup bersyariat.
“Sehingga kemuncaknya, kita mahu rakyat merasai sendiri kemanisan dan keindahan tatacara hidup Islami bernula dengan diri sendiri, keluarga dan masyarakat seluruhnya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Program Indahnya Hidup Bersyariat, Bicara Daie Ummah Nusantara (Bersempena Ambang Tahun Baharu 2024), di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Khalil berkata semua pihak perlu mengalas amanah dalam usaha memperkasakan syariah.
“Memberikan penekanan yang lebih agar kita semua berganding bahu bersama pihak berwajib dalam memastikan pelaksanaan kehidupan bersyariat dalam rutin setiap rakyat Darul Iman sehingga terbitnya dari sanubari mereka betapa indahnya Islam.
“Ketahuilahh, hidup bersyariat merupakan identiti dan jati diri sebenar orang Terengganu, sejarah juga membuktikan Terengganu sudah terkenal sebagai sebuah negeri yang mengamalkan kehidupan bersyariat sejak lebih 700 tahun dahulu,” ujarnya.