Home Berita PAS Terengganu

Terengganu terima 200,000 dos tambahan Pfizer pada julai

81
SHARE

KUALA NERUS, 17 Jun – Kerajaan Pusat memberi jaminan bahawa Terengganu akan menerima 200,000 dos tambahan vaksin jenis Pfizer-BioNTech pada Julai depan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, beliau yakin dengan tambahan dos ke Terengganu itu lebih ramai penduduk akan divaksin dengan kadar segera.

“Keyakinan itu disuarakan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) yang memberi jaminan mampu meningkatkan kadar suntikan kira-kira 12,000 sehari sebaik terima sejumlah 200,000 dos tambahan vaksin pada Julai nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin di Stadium Tertutup, Gong Badak, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr. Alias Razak dan Pengarah JKNT Dr. Nor Azimi Yunus.

Khairy yang juga Menteri MOSTI turut memberitahu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkemungkinan akan menyediakan unit bergerak (mobile unit) bagi memberi suntikan vaksin satu dos kepada penduduk di pulau-pulau di Terengganu.

“Vaksin yang sama iaitu CanSino dan Johnson & Johnson sebelum ini turut diberi kepada penduduk di kepulauan Sabah, Sarawak dan kepada Orang Asli,” katanya.