Home Berita PAS Terengganu

Terengganu sasar semua pengusaha akuakultur miliki sijil MyGAP

18
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu menyasarkan semua penggiat dan pengusaha akuakultur di negeri ini memiliki Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) dalam tempoh tiga tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri, Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, setakat ini sebanyak 43 pensijilan MyGAP telah dianugerahkan kepada premis akuakultur melibatkan lebih 500 penternak.

“Sasaran kita supaya semua penggiat akuakultur yang mengamalkan pelbagai sistem termasuk hatcheri ikan marin, ladang ternakan udang serta ternakan ikan air tawar dan ikan air payau dalam sangkar memiliki sijil MyGAP.

“Sijil MyGAP ini penting untuk mengesahkan produk dihasilkan mempunyai kualiti yang baik dan selamat dari sudut kandungan antibiotik, racun ataupun logam.

“Dengan itu ia membolehkan produk yang dihasilkan berkembang ke tempat yang lebih jauh dan memasuki pasaran antarabangsa dan menembusi pasaran-pasaran pasar raya ternama,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Amalan Akuakultur Baik dan Pelancaran Dashboard Supply Quality Assurance (SQA) Red Kenyir, di Auditorium pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Dr. Azman memaklumkan bahawa kerajaan negeri sedang berusaha untuk mewartakan beberapa lokasi sebagai zon industri akuakultur antaranya ialah di Sungai Cemor Tasik Kenyir.

“Seluas lebih 3,000 hektar melibatkan kawasan daratan dan tasik dalam proses diwartakan sebagai zon industri akuakultur.

“Apabila ia diwartakan membolehkan dari sudut pengurusan akan lebih sistematik dan mudah juga akan melalui proses birokrasi yang lebih singat.

“Melalui usaha yang berterusan ini kita sasarkan supaya Terengganu menjadi negeri pengeluar produk akuakultur yang utama di Malaysia,” ujarnya.