Home Berita PAS Terengganu

Primula Beach Hotel jadi Hotel pertama di Terengganu tanam MMT

38
SHARE

KUALA TERENGGANU – Primula Beach Hotel mengorak langkah menceburi bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman Melon Manis Terengganu (MMT) secara fertigasi di perkarangan hotel berkenaan.

Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata, lebih membanggakan apabila Primula Beach Hotel menjadi hotel pertama di negeri ini yang terlibat dengan pertanian secara fertigasi.

Katanya, projek fasa pertama dengan tanaman sebanyak 30 pokok MMT yang bermula 8 Ogos lalu kini mula mengeluarkan buah.

“Anggaran masa untuk tuaian hasil adalah pada 12 hingga 13 Oktober ini iaitu dalam tempoh 60 hingga 70 hari selepas proses penanaman.

” Selain MMT, kita juga usahakan tanaman sawi secara fertigasi yang telah beberapa kali berjaya dituai dalam kuantiti yang cukup memberangsangkan.

“Projek fertigasi ini bertujuan untuk mengurangkan kos pembelian sayur-sayuran atau buah-buahan dari luar di mana hasil tanaman ini membolehkan kita menyediakan sayuran segar yang dipetik terus dari kebun ke dapur pelanggan hotel,” ujarnya kepada pemberita, hari ini.

Menurut beliau, usaha tersebut juga selaras dengan inisiatif hotel dalam menyokong amalan hijau dan kelestarian, dengan mengurangkan jejak karbon melalui penggunaan sumber tempatan dan mengurangkan sisa makanan.

“Kita sebenarnya telah menerima pengiktirafan sebagai ‘Hotel Amalan Lestari Terbaik’ di Anugerah Industri Pelancongan 2024 yang diadakan di Royale Chulan Kuala Lumpur, baru- baru ini.

“Anugerah itu telah mengiktiraf komitmen teguh Primula Beach Hotel terhadap kelestarian dan usaha inovatif dalam mempromosikan amalan mesra alam dalam industri perhotelan,” ujarnya.

Katanya, bagi menjayakan projek terbabit, pihaknya dibantu oleh Jabatan Pertanian dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang bertindak sebagai mentor dan memantau kemajuan penanaman.