Home Berita PAS Terengganu

Terengganu peruntuk RM250,000 kepada pengusaha melon manis

92
SHARE

Oleh: Mastura Jamal Din
KUALA TERENGGANU, 23 Ogos – Terengganu memperuntukkan RM250,000 kepada pengusaha fertigasi tanaman Melon Manis Terengganu (MMT) di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata insentif yang diberikan kepada 47 pengusaha MMT itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap sektor pertanian yang merupakan salah satu penyumbang kepada ekonomi di Terengganu.

“Kita beri bantuan ini sebagai dorongan kepada mereka untuk terus produktif dalam usaha meningkatkan pengeluaran buah yang menjadi identiti bagi negeri Terengganu.

“Bantuan ‘input’ dalam bentuk benih, baja, racun, sistem pengairan, EC meter, PH meter, Basilus dan beberapa input lagi bagi memperkasakan industri ini,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas penyerahan input kepada penerima secara ‘drive thru’ bagi memperkasakan tanaman Melon Manis Terengganu di TKM Peradong, Manir, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Azman berkata, pengeluaran hasil bagi tanaman MMT tidak terjejas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula fasa pertama pada Mac tahun lalu.

“Aktiviti tanaman melon manis di Terengganu tidak terjejas termasuk di kawasan-kawasan terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) memandangkan sektor ini termasuk dalam sektor ‘essential’ yang berkeperluan dan dibenarkam beroperasi.

“Jadi tiada berlaku isu lambakan atau buah tidak laku malah hasil pengeluaran bagi tahun ini juga sama seperti tahun lalu iaitu mencecah 500 tan setahun,” katanya.

MMT adalah ikon buah di negeri itu yang mempunyai keunikan rasa tersendiri kerana ia lebih manis, rangup dan berlemak berbanding 3,000 varieti melon lain di seluruh dunia.

Lebih istimewa, varieti buah itu yang eksklusif dan hanya terdapat di Terengganu tidak pernah ditanam di Malaysia sebelum ini menjadikannya sentiasa laris di pasaran dalam negara ketika ini dengan harga RM10 untuk sekilogram.