Home Berita PAS Terengganu

Terengganu kekal subsidi air percuma rakyat B40, masjid

5
SHARE

KUALA TERENGGANU – Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) mengekalkan subsidi air percuma kepada isi rumah B40 serta masjid dan surau berdaftar, walaupun pelarasan tarif air mula berkuatkuasa 1 Ogos 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ts. Abdul Karim Endut berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan pelarasan tarif bagi semua negeri di Malaysia di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi tempoh pelaksanaan kedua, melibatkan pengguna domestik dan bukan domestik.

Namun ujar beliau, sebagai langkah menjaga kebajikan rakyat, subsidi air percuma 20 meter padu sebulan untuk golongan B40 yang layak dikekalkan.

“Pada masa sama, penggunaan air di masjid dan surau berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan terus ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

“Subsidi ini bukan sahaja diteruskan, malah ditingkatkan daripada RM2.5 juta kepada RM3.0 juta setahun,” jelas Abdul Karim kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, sebanyak 13,715 akaun dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.5 juta setahun telah menerima air percuma 20 meter padu sejak 2019 hingga kini.

Manakala, bagi masjid dan surau, ia melibatkan 1,883 akaun dengan jumlah keseluruhan RM1.5 juta setahun.

Mengulas mengenai pelarasan tarif baharu, Abdul Karim menjelaskan pengguna domestik dengan meter individu yang menggunakan sehingga 20 meter padu air sebulan mengalami perubahan melibatkan 8 sen bagi setiap meter padu.

Sementara itu, untuk kategori bukan domestik seperti industri dan perniagaan, kadar baharu mencerminkan kos sebenar operasi dan kekal kompetitif berbanding negeri lain.

“Tarif untuk rumah ibadat dan institusi kebajikan kekal tanpa perubahan sebagai tanda sokongan kerajaan kepada peranan sosial dan keagamaan yang dimainkan oleh institusi tersebut.

“SATU turut memperuntukkan kira-kira RM50 juta setahun bagi membangunkan infrastruktur bekalan air termasuk pembinaan dan naik taraf loji rawatan, sistem agihan serta pengurangan kadar Air Tidak Terhasil (NRW),” katanya.

Berdasarkan laporan Malaysiakini, Johor kekal tarif tertinggi dengan nilai RM1.05 bagi setiap 0-20 meter padu, Melaka kedua (RM0.94) dan Labuan ketiga (RM0.92).