KUALA TERENGGANU – RXZ Members telah tiga hari melabuhkan tirai, namun kisah di sebalik program tersebut masih belum berakhir.
Di media sosial, rata-rata peserta dan masyarakat luar kagum dengan rakyat serta suasana Terengganu yang disifatkan lain daripada yang lain.
Melalui perkongsian seorang peserta RXZ Members yang dikenali sebagai Makmalbundle di akaun TikTok, dia teruja melihat sikap murah hati rakyat Terengganu.
“Bermula dari hari pertama kami sampai, ramai penduduk tempatan belanja kami makan, kemudian ada kedai tawarkan makanan percuma kepada kami.
“Kami segan, niat kami nak ‘support’ rakyat Terengganu meniaga, tetapi mereka pula yang ‘support’ dan dapat layan macam tu, waktu malam ada lagi yang jemput makan, kami sangat bersyukur,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peserta dari Johor, Ariffin Ramlan berkata, layanan diterima daripada masyarakat Terengganu sangat luar biasa.
“Kami dari Johor sampai ‘homestay’ pagi, apabila masuk ‘homestay’ tiba-tiba ada orang kampung tak putus-putus hantar buah-buahan, macam dah lama kenal kami,” katanya di ruangan komen.
Dalam pada itu, menerusi satu lagi perkongsian di TikTok Shell-RR Paka Point, pengguna Hafiz90 berkata, sifat rakyat Terengganu memang semula jadi suka meraikan tetamu.
“Tak boleh dinafikan orang Terengganu baik-baik dan tidak memilih, walaupun baru kenal, tapi macam dah lama kenal,” katanya.
Tambah The Cactus Homestay dari johor pula, selain kebaikan orang Terengganu, keenakan makanan juga menjadi faktor masyarakat luar menyukai Terengganu.
“Orang Terengganu baik ‘belake’, makan pula sedap-sedap, tambah lagi satu Terengganu memang negeri cantik,” katanya.