SETIU – Kerajaan negeri Terengganu dan CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) menjalin kerjasama strategik bagi memperkasa sukan kuda lasak dan ekuestrian melalui platform Arena CelcomDigi serta memacu usaha pendigitalan negeri.
Kerjasama tersebut diumumkan sempena Majlis Perasmian Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) dan Clubhouse yang telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan baginda yang ke-63.
Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, kerjasama bernilai RM3 juta itu bukan sahaja melibatkan penajaan pasukan dan acara, malah turut merangkumi usaha menaik taraf infrastruktur digital dan kemudahan sukan di TIEP.
“Kami amat komited dalam usaha pembangunan dan pendigitalan negeri, selaras dengan peranan kami sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama di Terengganu.
“Melalui kerjasama ini, kami menyokong pembangunan sukan kuda lasak dan ekuestrian yang berpotensi menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan dan ekonomi negeri.
“Kami amat berbangga dengan pasukan tempatan bertaraf dunia yang bertanding di pentas antarabangsa dalam sukan ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Beliau turut yakin bahawa pelaburan melalui usaha berterusan ini akan membawa impak positif kepada pembangunan negeri secara menyeluruh, khususnya dalam meningkatkan sosioekonomi masyarakat serta merancakkan ekonomi pelancongan.
“Arena CelcomDigi merupakan satu inisiatif yang menyokong perkembangan pelbagai jenis sukan di Malaysia, dan platform ini juga mampu meningkatkan kesedaran terhadap sukan kuda lasak dan ekuestrian serta menggalakkan penyertaan lebih ramai, terutamanya dalam kalangan anak muda,” ujarnya.
Tambah beliau, sejak penggabungan Celcom dan Digi tiga tahun lalu, lebih RM300 juta telah dilaburkan di Terengganu yang merangkumi pembinaan dan naik taraf infrastruktur digital serta penambahbaikan akses kesalinghubungan untuk komuniti dan perusahaan tempatan.
“Dengan kehadiran fizikal yang meluas melalui 400 cawangan runcit serta bilangan pengguna melebihi dua pertiga penduduk tempatan, kerjasama strategik ini membuka peluang kepada CelcomDigi untuk menyumbang ke arah pemerkasaan masyarakat Terengganu secara mampan dan mengukuhkan ekonomi tempatan,” katanya.