Home Berita PAS Terengganu

Terengganu catat peningkatan kes HFMD

34
SHARE

HULU TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu(JKNT)merekodkan sebanyak 782 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dari awal Januari sehinga 7 Mei lepas.

Pengarahnya,  Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kes berkenaan melibatkan 19 wabak HFMD yang berlaku di lima daerah iaitu Kuala Terengganu (lima), Setiu (lima), Hulu Terengganu (tiga), Marang(tiga), Besut (dua) dan Kemaman sebanyak satu kes.

Katanya, HFMD di negeri ini meningkat sebanyak 732.2 peratus jika dibandingkan pada tahun lepas dengan hanya 95 kes.

“Namun keadaan masih terkawal dan sehingga kini tidak ada di taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) yang ditutup.

“Mereka yang dijangkiti HFMD tidak boleh hadir ke taska atau tadika dan sebaliknya boleh hadir seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Gerak Gempur Cakna Ubat di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu di sini, hari ini.

Tambahnya, majoriti wabak ini menjangkiti kanak-kanak berusia enam tahun dan  ke bawah.

“Oleh sebab itu bagi mengelakkan penularan wabak ini, kita mohon kerjasama daripada dua pihak iaitu taska atau taska serta ibu bapa.

“Bagi ibu bapa, jangan hantar anak mereka ke taska atau tadika jika bergejala dan pihak taska atau tadika pula jangan menerima jika ada kanak-kanak menunjukkan gejala HFMD,” ujar beliau.