Home Berita PAS Sabah

TELAHAN SYAWAL: KEPUNGAN AHZAB YANG MENCABAR

1089
SHARE

Abu Mahfuz Affan
Sabah
4 Syawal 1441 H / 27 Mei 2020

Antara peristiwa besar melanda umat Islam pimpinan Rasulullah khususnya dalam bulan Syawal adalah peperangan Khandaq. Peperangan ini juga disebut sebagai Peperangan Ahzab. Beberapa ulama seperti Urwah Ibn Zubair, Qatadah, Imam Baihaqi dan jumhur ulamak menyebut ia berlaku pada Syawal tahun ke 4 Hijrah.

Imam Bukhari dan Imam Malik menyebutkan ia berlaku pada tahun 4 Hijrah. Ini bermakna peperangan ini berlaku sekitar tahun keempat atau kelima Hijrah.

*Sebab Peperangan*

Peperangan ini tercetus angkara tindakan Yahudi Bani Nadhir yang telah berangkat ke Mekah dan membakar semangat penentangan kaum Musyrikin untuk melancarkan perang terhadap Rasulullah disebabkan bani celaka ini semakin remuk hati melihat pemugaran kuasa Islam di Madinah. Kaedah ini telah berjaya dan kaum Musyrikin bersedia untuk berperang sekali lagi dengan kesepakatan dari Yahudi Bani Nadhir.

Mereka turut berhasil mempengaruhi suku Ghatfan, Bani Fuzarah dan Bani Murrah yang sungguh dendam kepada Islam. Tujuannya untuk mewujudkan pakatan besar bagi menyerang Madinah. Inilah manifestasi kafir Musyrik Mekah dan Yahudi akibat kebencian meluap-luap, bersatu menentang Islam. Kesepakatan ini juga digelar sebagai Pakatan Ahzab. Pakatan kufar ini berjumlah 10 000 tentera.

*Perbincangan, Keputusan dan Parit Perang*

Ketika Rasulullah SAW mendengar khabar keberangkatan Yahudi ke Mekah. Maka Rasulullah mengumumkan hal ini kepada kaum muslimin dan bersiap siaga dengan persiapan dan kelengkapan perang. Rasulullah mengumpulkan para sahabat untuk mengadakan perbincangan meminta pandangan awal para sahabat untuk membina kekuatan tentera Islam.

Salman Al Farisi bangun mengusulkan supaya menggali parit di sekitar Madinah bagi mengekang kemaraan Pakatan Ahzab dengan berpandangan kaedah ini lazim dilaksanakan kerajaan Parsi untuk mengalahkan musuh. Para sahabat mendengar dan kagum dengan cadangan baru itu, Rasulullah berbesar hati menerima cadangan Salman. Tentera Islam berkemah di lereng Bukit Sila’ dengan membelakanginya dan memulakan operasi perparitan perang yang memisahkan mereka seramai 3000 orang sahaja.

*Rasulullah Memimpin Gerak Kerja Penggalian*

Imam Bukhari meriwayatkan dari Barra ra menyebutkan bagaimana Rasulullah menggali parit dan mengusung tanah galian itu sehingga tidak kelihatan dada Rasulullah yang berbulu lebat akibat tanah yang menutupinya.

Kaum Ansar dan Muhajirin yang dipimpin Rasulullah menggali parit secara amal jama’i dan berikrar setia kepada Rasulullah mempertahankan Islam selama mereka masih hidup hinggalah mati. Rasulullah melihat keadaan ini lalu mendoakan mereka :

الهم إنه لا‎خير إلا خير الأخرة فبارك فی الأنصار والمهاجرة

“Ya Allah sesungguhnya tiada kebaikan kecuali kebaikan akhirat maka berkatilah kaum Ansar dan Muhajirin”

(Sahih Bukhari / Muslim)

*Sikap Kumpulan Munafik Semasa Kancah Peperangan*

Ketika persiapan perang rancak terutama gerak kerja membina parit yang mencabar, suasana ini memecahkan tembelang sebenar golongan munafik. Mereka enggan bersama kaum muslimin membina senjata tanah ini. Keadaan ini dicerahkan dengan mereka menampakkan diri mereka seolah dalam keadaan lemah, tidak berkemampuan.

Tidak kurang juga ada yang melarikan diri tanpa pengetahuan Rasulullah sedangkan setiap umat Islam yang ada keperluan dan keuzuran perlu mendapat izin dari Rasulullah. Namun ini berbeza dengan orang munafik yang terkenal dengan perangai penakut dan talam dua muka. Berkenaan dengan sikap mereka. Allah berfirman :

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَإِذَا كَانُواْ مَعَهُۥ عَلَىٰٓ أَمۡرٖ جَامِعٖ لَّمۡ يَذۡهَبُواْ حَتَّىٰ يَسۡتَـٔۡذِنُوهُۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسۡتَـٔۡذِنُونَكَ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦۚ فَإِذَا ٱسۡتَـٔۡذَنُوكَ لِبَعۡضِ شَأۡنِهِمۡ فَأۡذَن لِّمَن شِئۡتَ مِنۡهُمۡ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمُ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٞ

“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman ialah mereka yang beriman kepada Allah dan RasulNya, dan apabila mereka turut bersama-sama dengan Rasulullah dalam sesuatu perkara yang memerlukan perhimpunan ramai, tidaklah mereka meninggalkan majlis perhimpunan itu sebelum mereka meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (wahai Muhammad) itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya. Maka apabila meminta izin kepadamu untuk pergi menjalankan sesuatu urusan mereka, maka izinkanlah bagi sesiapa yang engkau kehendaki di antara mereka, dan mintalah ampun kepada Allah untuk mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

-Surah An-Nur, Ayat 62

*Pengintip Pemecah Kekuatan Ahzab*

Diantara isyarat awal kemenangan tentera Islam apabila pengintip muda berani ini berjaya menyusup masuk dalam tentera Musyrikin dan Yahudi. Nu’aim bin Mas’ud pemuda yang datang menyatakan Islam kepada Rasulullah dan menawarkan diri untuk melaksanakan segala bentuk perintah. Nabi mengarahkan dia untuk memecahkan kekuatan musuh dari dalam. Rasulullah berpesan kepadanya :

الهم أنت رجل واحد فينا، ولكن خذل عنا إن استطعت فإن الحرب خدعة

“Di antara kita engkaulah satu-satunya orang yang dapat melaksanakan tugas itu. Bila engaku sanggup, lakukanlah tugas itu untuk menolong kita. Ketahuilah bahawa peperangan adalah tipu muslihat”

Nu’aim segera pergi mendatangi kumpulan Bani Quraizah dan menyakinkan mereka dia masih musyrik sebagai bentuk penyamaran (strategi) lantas menyeru berundur kerana jaminan keselamatan dan pertahanan dari Musyrikin Mekah masih tidak jelas untuk mereka. Pandangan ini Bani Quraizah terima tanpa syak wasangka.

Kemudian dia bergegas menuju ke pemimpin – pemimpin Quraisy untuk mengatakan orang Yahudi menyesaL dan tidak ingin meneruskan agenda pakatan dan berpakat pula bersama Muhammad untuk menangkap pemimpin-pemimpin Quraisy Mekah untuk dibunuh serta merta. Strategi berani mati ini telah berjaya dan memberi kesan kepada persiapan dalaman pakatan Ahzab untuk menyerang Madinah. Mereka berpecah sebelum berperang, saling tidak percaya dan menuduh pengkhianat satu sama lain. Keadaan ini memberi masa tambahan kepada Rasulullah untuk mengatur strategik lain bagi pihak tentera Islam.

*Angin Kencang Membadai Tentera Ahzab, Kemenangan Milik Islam*

Isyarat kedua yang merupakan isyarat mutlak kemenangan Islam apabila Allah menghantar angin taufan pada malam hari yang sejuk mencengkam. Angin ini datang dengan kelajuan menggerunkan menghempas khemah-khemah tentera pakatan Ahzab dan menerbangkan kuali-kuali serta peralatan yang lain. Keadaan derita ini terjadi setelah mereka mengepung Madinah selama 10 hari dengan kegagalan memasuki Madinah kerana halangan parit yang dibina tentera Islam.

Rasulullah dan para sahabat dapat merasai aura tiupan angin yang sangat kencang itu. Keadaan yang cukup membelasah seluruh kekuatan tentera dan kesombongan Pakatan Ahzab tanpa reda menyebabkan pemimpin mereka Abu Sufian yang belum memeluk Islam ketika itu seraya bangun dan mengarahkan seluruh tentera untuk pulang meninggalkan medan peperangan. Kekuatan 10 000 tentera kafir harbi ini sedikit pun tidak dapat menerobos kubu Islam Madinah, dan kemenangan Islam berjaya dikecapi.

Sepanjang berlangsungnya peperangan ini, Rasulullah tidak pernah berhenti bermunajat kepada Allah memohon pertolongan. Ternyata pertolongan untuk Islam menuju kemenangan sentiasa ada.

Rujukan ? :
Fathul Baari Ibn Hajar & Fathur Robbani Imam Ahmad
Thabaqat Ibni Saad (ringkasan)
Sirah Ibnu Hisyam
Fiqh Sirah Al Buthy (Dr Said Ramadhan)
Sahih Bukhari / Muslim