Home Minda Presiden

TELADAN RASULULLAH SAW MEMBENTUK NEGARA MASYARAKAT MAJMUK

2
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 69 / 2025]
TELADAN RASULULLAH SAW MEMBENTUK NEGARA MASYARAKAT MAJMUK


Firman Allah SWT:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ ١٠٧

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” [Surah al-Anbiya’: 107]

Allah Maha Esa Pencipta alam, mencipta manusia yang ditugaskan untuk memakmurkan alam dunia di bumi yang luas, dalam keadaan mereka berbagai-bagai bangsa, agama, dan kebudayaan serta berbeza kemampuan.

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ
١٣

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali! Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Surah al-Hujurat: 13]

Firman Allah SWT:

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ ٢٢

“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi serta berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” [Surah al-Rum: 22]

Teori menghapuskan bangsa serta semangat kebangsaan dan kecintaannya adalah perkara luar tabii (fitrah) dan banyak mendatangkan penyakit. Pasti mustahil dilakukan kerana tiada sesiapa yang berkuasa lebih daripada Allah Yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana dan Maha Adil. Teori ini turut bercanggah dengan Islam, agama fitrah. Firman Allah SWT:

فَأَقِمۡ وَجۡهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفٗاۚ فِطۡرَتَ ٱللَّهِ ٱلَّتِي فَطَرَ ٱلنَّاسَ عَلَيۡهَاۚ لَا تَبۡدِيلَ لِخَلۡقِ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ
٣٠

“Maka, hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama (Islam sebagai al-din) yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” [Surah al-Rum: 30]

Allah mewajibkan Islam yang adil kepada semua sebagai amanah besar yang diwajibkan kepada para pemimpin dalam kalangan manusia. Para rasul ialah teladan pilihan yang dilantik oleh Allah.

Semua rasul diperintahkan untuk memulakan dakwah kepada kaum dan bangsa masing-masing. Firman Allah SWT:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٤ وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا مُوسَىٰ بِـَٔايَٰتِنَآ أَنۡ أَخۡرِجۡ قَوۡمَكَ مِنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ وَذَكِّرۡهُم بِأَيَّىٰمِ ٱللَّهِۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّكُلِّ صَبَّارٖ شَكُورٖ ٥

“Kami tidak mengutus seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia dapat memberikan penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki, dan memberikan petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. (4) Dan sesungguhnya, Kami telah mengutus Musa dengan membawa ayat-ayat Kami, (dan Kami perintahkan kepadanya), ‘Keluarkanlah kaummu daripada gelap-gelita kepada cahaya terang benderang dan ingatkanlah mereka kepada hari-hari Allah.’ Sesungguhnya, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap orang penyabar dan banyak bersyukur. (5)” [Surah Ibrahim: 4–5]

Firman Allah SWT kepada Rasulullah SAW, rasul akhir zaman yang diutus kepada semua manusia:

وَأَنذِرۡ عَشِيرَتَكَ ٱلۡأَقۡرَبِينَ ٢١٤

“Dan berikanlah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat.” [Surah al-Shu‘ara’: 214]

Firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِي بَعَثَ فِي ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٖ ٢ وَءَاخَرِينَ مِنۡهُمۡ لَمَّا يَلۡحَقُواْ بِهِمۡۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٣

“Dialah yang mengutus kepada kaum (bangsa Arab) yang buta huruf seorang Rasul antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka, dan mengajari mereka Kitab dan Hikmah (Sunnah). Dan sesungguhnya, mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata. (2) Dan (juga) kepada kaum yang lain daripada mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (3)” [Surah al-Jumu‘ah: 2–3]
Di sini menunjukkan bahawa dukungan bangsa dan keluarga ialah permulaan bagi semua perjuangan para rasul.

Allah SWT menunjukkan teladan seorang rasul (Lut AS) yang tidak ada dukungan kaumnya sendiri:

قَالَ لَوۡ أَنَّ لِي بِكُمۡ قُوَّةً أَوۡ ءَاوِيٓ إِلَىٰ رُكۡنٖ شَدِيدٖ ٨٠

“Lut berkata, ‘Seandainya aku ada mempunyai kekuatan (untuk menolakmu) atau kalau aku dapat berlindung kepada keluarga yang kuat (sudah tentu aku lakukan).’” [Surah Hud: 80]

Allah mengutus pasukan malaikat untuk menyelamatkan Nabi Lut AS sebelum kaumnya diazab. Rasulullah SAW bersabda mentafsirkan ayat ini:

‌مَا ‌بَعَثَ ‌اللَّهُ ‌بَعْدَهُ نَبِيًّا إِلَّا فِي ثَرْوَةٍ مِنْ قَوْمِهِ.

“Selepasnya, Allah menjadikan setiap rasul ada pendukung dalam kalangan kaum atau bangsanya.” [Hadis riwayat al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab Tafsir al-Qur’an, no. 3116, daripada Abu Hurairah]

Allah tidak melarang kecintaan atau kasihnya seseorang kepada bangsa, namun hendaklah dengan bersempadankan tidak berlaku zalim terhadap bangsa yang lain. Firman Allah SWT:

۞يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ بِٱلۡقِسۡطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمۡ أَوِ ٱلۡوَٰلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَۚ إِن يَكُنۡ غَنِيًّا أَوۡ فَقِيرٗا فَٱللَّهُ أَوۡلَىٰ بِهِمَاۖ فَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلۡهَوَىٰٓ أَن تَعۡدِلُواْۚ وَإِن تَلۡوُۥٓاْ أَوۡ تُعۡرِضُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٗا ١٣٥

“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah, biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu! Jika dia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka, janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang daripada kebenaran. Dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya, Allah adalah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Nisa’: 135]

Sehinggakan, Allah memerintahkan berlaku adil terhadap musuh pada masa perang. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨

“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil! Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa, dan bertaqwalah kepada Allah! Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ma’idah: 8]

Apabila Rasullullah SAW diutus kepada seluruh manusia, maka Baginda mengorak langkah dakwah pertama kepada persediaan menegakkan negara dengan mengajak para pemimpin bangsa Arab supaya bersamanya pada masa awal Islam, di samping bersama berjuang mendirikan negara yang dijanjikan kemenangannya oleh Allah SWT:

ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١

“(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi, dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40) (Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf, dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan. (41)” [Surah al-Hajj: 40–41]

Negara masyarakat majmuk berbagai-bagai bangsa dan agama yang dipimpin oleh Islam mengamalkan Islam pada dirinya dan negaranya bagi melaksanakan kebajikan politik serta beribadat dalam menegakkan keadilan politik, ekonomi, kedaulatan undang-undang, dan lain-lain.

Para ulama’ membahagikan umat yang wajib disatukan dalam perpaduan masyarakat majmuk kepada umat ijabah dan umat dakwah.

Umat ijabah adalah daripada kalangan penganut Islam daripada bangsa yang mendominasi yang boleh berubah kepada pelbagai bangsa yang menganut Islam.

Umat dakwah pula adalah daripada kalangan penganut bukan Islam yang dijemput bersama menyertai negara. Ada sebahagiannya yang menerima dan ada juga yang bermusuh. Firman Allah SWT:

لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. ( Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, serta membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8–9]

Rasulullah SAW mengambil langkah menyatukan bangsa Arab daripada kalangan penganut Islam yang menyahut bersamanya.

Kemudian, Rasulullah SAW telah mengambil langkah mengajak penganut Islam dalam kalangan kaum Arab kepada perpaduan umat Islam daripada bangsa Quraisy yang berasal dari Makkah berserta Aus dan Khazraj yang paling ramai dari Madinah dan lain-lain, bahkan disertai oleh keluarganya, Arab bukan Islam dan kabilah Arab bukan Islam yang bersaudara dengan keluarganya sejak zaman jahiliah seperti Bani Khuza‘ah dan lain-lain.

Pada masa yang sama, mereka disertai oleh beberapa orang tokoh kaum Yahudi Madinah dan Kristian Najran yang sedia bernaung bawah kerajaan Islam yang menolak pemimpin yang zalim daripada kaum mereka.

Maka, Sahifah Madinah (Perjanjian Madinah atau Piagam Madinah) yang bersejarah dimeteraikan.

Pada peringkat permulaannya, jumlah bukan Islam adalah majoriti, tetapi mereka berpecah dan berperang dalam kalangan kabilah Arab dan kaum Yahudi daripada pelbagai kabilah. Mereka yang benci akan kezaliman atas sifat kemanusiaan lalu menerima Islam menjadi pemimpin sebagai percubaan menyelamatkan keadaan.

Kepimpinan negara Islam yang berprinsipkan aqidah (keimanan) kepada perhitungan Allah di dunia dan akhirat, di samping berkonsepkan ilmu dan akhlak yang mulia serta kuat pengaruhnya menjadi syarat pemilihan seseorang pemimpin. Hal ini membezakan Islam dengan demokrasi Barat sekular yang banyak kelemahannya kerana terpisah daripada agama, menyebabkan tidak ada roh sehingga dibejati politik kebendaan, lalu diri pemimpin tidak terkawal daripada rasuah dan salah laku.

Walaupun demokrasi Barat melakukan plagiat daripada Islam dalam memberikan hak kepada rakyat (melalui pilihan raya), rakyat tetap juga ditipu dan dibeli dengan rasuah serta dibuli dengan paksaan yang tidak terkawal.

Kejayaan yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW menyebabkan Islam diterima ramai. Mereka menjadi penganut tanpa paksaan atau lebih bersedia berada bawah pemerintahan Islam yang adil.

Akhirnya, Islam diterima oleh penduduk jajahan takluk kuasa besar dunia yang zalim pada zamannya, menyebabkan kuasa besar itu jatuh, walaupun mereka mengerahkan bala tentera yang besar, kerana rakyat mereka sendiri lebih rela menerima Islam yang dianggap penyelamat. Maka, pengaruh Islam diterima menjadi penyelamat, bukan penjajah.

Islam memperoleh kejayaan yang berlangsung selama lebih 13 abad (1,300 tahun) menjadi negara kuasa besar tunggal dalam memimpin dunia yang mewarisi Tamadun Islam sehingga kini. Tamadun Islam adalah paling besar dan luas wilayahnya dan paling majmuk masyarakatnya. Kerajaannya meliputi Nusantara di timur, melalui Asia Tengah, sehingga Eropah Selatan serta Afrika Utara dan Afrika Tengah.

Tamadun Islam ialah hasil daripada ilmu wahyu dan ilmu dunia daripada berbagai-bagai bangsa, kerana Islam memuliakan para ilmuwan dan bijak pandai daripada semua bangsa dan tamadun yang berfaedah. Tamadun Islam juga mewajibkan ilmu agama dan dunia, ketika negara lain menganggap para ilmuwan dan bijak pandai ialah musuh yang mencabar kuasa mereka yang zalim itu.

Adapun kejatuhan kerajaan Islam adalah kerana memakan usia yang panjang sehingga umat Islam menjadi lalai dan leka, lalu meninggalkan ajarannya sendiri. Bahkan, terpengaruh pula dengan kekayaan Tamadun Barat yang hakikatnya menimba daripada Tamadun Islam, namun dengan melakukan kecacatan memisahkan urusan dunia daripada agama.

Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA pernah berpesan:

‌نَحْنُ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللهُ بِالْإِسْلَامِ فَمَهْمَا نَبْتَغِي الْعِزَّة بِغَيْرِ مَا أَعَزَّنَا الله أَذَلَّنَا الله.

“Kita ialah umat (Islam) yang dikurniakan oleh Allah kerana Islam yang sempurna; sekiranya kita meninggalkan Islam dengan mencari kemuliaan yang lain daripada Islam, nescaya kita menjadi lemah dan dihukum oleh Allah menjadi hina.”

Allah menjanjikan untuk menukar bangsa yang menegakkan Islam apabila bangsa Arab meninggalkan Islam. Firman Allah SWT:

هَـٰٓأَنتُمۡ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨

“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) di jalan Allah, maka antara kamu ada yang bakhil. Dan sesiapa yang bakhil, sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri. Dan Allahlah yang Maha Kaya, sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]

Maka, usaha payung Islam yang besar dengan menyatukan Melayu Islam bersama bumiputera bukan Islam dan penyertaan bukan Islam yang tidak ekstrem bawah satu payung adalah sangat penting bagi menyelamatkan Malaysia yang bermasyarakat majmuk.

Hal ini adalah bagi melaksanakan Islam yang telah terbukti kejayaannya serta menolak ideologi ciptaan manusia di kedua-dua blok, Timur dan Barat yang membakar diri, malah sedang merudum dan menunggu giliran kejatuhan kerana kelemahan dan kegagalannya disebabkan tidak sempurna. Sehinggakan, merosakkan diri, kemanusiaan, institusi keluarga, masyarakat, negara, dan alam sekitar.

Firman Allah SWT:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 11 Rabi‘ al-Akhir 1447 / 3 Oktober 2025