Home Kenyataan Media PAS Wilayah

Teguran buat Komuniti Muslim Universal (KMU)

1080
SHARE

Ameerah Wilayah Persekutuan menyelar tindakan pihak Komuniti Muslim Universal (KMU) yang secara tidak langsung menyamaratakan kedudukan Agama Islam dengan agama lain melalui kenyataan bahawa humanisme merupakan anutan mereka yang disiarkan di laman sesawang ini bertarikh 31 May 2017.

Tindakan pihak KMU yang semberono mentafsirkan ajaran Islam menurut fahaman mereka sendiri tanpa asas ilmu yang jelas secara tidak langsung boleh menyebabkan kecelaruan aqidah umat Islam. Kumpulan ini juga memandang enteng tentang pentingnya berpegang dengan asas aqidah yang jelas sehingga mengenepikan fatwa yang telah dikeluarkan berkenaan fahaman Qadiani yang membawa ajaran sesat dan menyeleweng.

Atas kebimbangan inilah Ameerah Wilayah Persekutuan memandang serius isu ini dan ingin menekankan bahawa anak-anak seharusnya dididik dengan ajaran Islam yang benar dan kukuh sejak dari awal pendidikan yang bermula di rumah. Asas aqidah yang jelas ini akan membawa kepada penerapan nilai-nilai Islam sebagai cara hidup sepanjang hayat. Manakala kelonggaran pegangan aqidah Islam akan menjurus kepada pembawaan doktrin yang bercanggah dengan ajaran Islam seperti pluralisme, liberalisme termasuklah humanisme.

Tindakan Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan yang menjemput KMU untuk mengadakan perbincangan wajar dipuji. Diharapkan KMU akan menyambut baik saranan Mufti ini dan membuahkan hasil yang positif.

Justeru, Ameerah Wilayah Persekutuan menggesa pihak berkuasa memainkan peranan penting supaya memantau dan menyiasat aktiviti kumpulan yang dibimbangi boleh menyumbang ke arah kecelaruan aqidah masyarakat Islam di Malaysia khususnya.

Aqidah yang kukuh pasti melahirkan generasi Islam yang patuh.

Sekian.

‘ATIKAH BINTI ABD RAHMAN
Pengarah Ameerah WP
6 Jun 2017
11 Ramadhan 1438H

 

{jathumbnail off}