Oleh: Muhammad Hadi
KANGAR : Tamrin Guru PASTI Negeri Perlis 2019 (TEGAP 5.0) yang berakhir semalam menyaksikan sebanyak empat resolusi telah dibentangkan oleh para peserta.
Resolusi berkenaan adalah membudayakan nilai kerjasama dan persaudaraan sesama Muslim dalam kalangan para pendidik dan memperkukuh asas disiplin secara lebih efektif bagi meninggikan imej perkhidmatan pendidikan PASTI di negeri ini.
Dua lagi resolusi yang turut diluluskan adalah meningkatkan semangat juang dalam kalangan para guru PASTI bagi memartabatkan lagi profesionalisme keguruan serta menerapkan budaya kerja yang sihat dengan konsep mematuhi arahan dan menghormati orang lain.
Seramai 96 orang guru PASTI telah menyertai program anjuran PASTI Negeri Perlis yang berlangsung di Putra Putri Lodge, dekat sini.
TEGAP 5.0 adalah kesinambungan siri-siri tamrin sebelum ini yang bermatlamatkan memantapkan para guru PASTI dari aspek kefahaman serta praktikal ke arah menyediakan barisan guru yang lebih berdaya saing dalam menghadapi dunia pendidikan yang semakin mencabar.
Program selama tiga hari itu menyaksikan para peserta mengikuti pelbagai bentuk aktiviti meliputi kuliah dan ceramah, sesi bengkel dan LDK, slot kerohanian dan juga aktiviti-aktiviti luar bilik kuliah seperti treasure hunt dan kawad kaki.
Majlis penutupan TEGAP 5.0 dirasmikan oleh Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Perlis, Hj Baharuddin Ahmad.