Home Artikel PAS Perlis

Guru PASTI Jangan Sisihkan Diri Daripada PAS

2177
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : “Jangan sisihkan diri daripada PAS!” Demikian penegasan yang dibuat oleh Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Perlis, Hj. Baharuddin Ahmad kepada guru-guru PASTI semalam.

Katanya, PASTI dan PAS tidak boleh dipisahkan kerana institusi berkenaan merupakan sebahagian daripada produk kelahiran parti Islam berkenaan.

Justeru jelasnya, adalah tidak wajar jika seseorang guru PASTI mengambil tindakan mengasingkan diri daripada PAS kerana tindakan berkenaan bercanggah dengan peranan seorang guru PASTI iaitu sebagai duta parti yang memberikan kefahaman Islam kepada masyarakat melalui bidang pendidikan.

 “PASTI dengan PAS tidak boleh dipisahkan, bermakna guru-guru janganlah cuba menyisihkan diri dari PAS kerana mereka adalah golongan yang Allah telah pilih untuk duduk sama dengan perjuangan jamaah Islam ini,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Tamrin Guru PASTI Negeri Perlis 2019 (TEGAP 5.0) di sini semalam.

Program selama tiga hari itu dianjurkan oleh PASTI Negeri Perlis dengan disertai seramai 96 orang guru PASTI dari seluruh negeri Perlis.

Menurutnya lagi, peranan guru PASTI pada hari ini tidak lagi terbatas di dalam bilik darjah semata-mata sebaliknya mereka juga merupakan tenaga penggerak yang sangat penting dalam menjayakan setiap agenda parti.

Untuk itu, beliau mengingatkan para guru agar sentiasa tabah dalam menggalas amanah besar yang diberi di samping sentiasa memohon petunjuk dan pertolongan daripada Allah S.W.T.

“Kepada para guru, istiqamahlah dalam menjalankan tugas sebagai guru PASTI dan bersabarlah dengan mehnah yang sentiasa menanti di depan anda,” ujarnya.