Home Berita PAS Terengganu

TDM lancar Pelan Antirasuah Organisasi

18
SHARE

KUALA TERENGGANU – TDM Berhad telah melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) TDM Berhad 2024-2026 bagi mendokong usaha pemantapan governans, integriti dan antirasuah dalam satu majlis yang diadakan di Duyong Marina & Resort, semalam.

Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, TDM mengorak langkah merealisasikan pelan tersebut melalui empat teras strategik iaitu memacu pertumbuhan ekonomi dan mengoptimum keuntungan selain memantapkan peranan dan imej.

“Juga meningkatkan kualiti dan memperkasakan sistem penyampaian serta memantapkan pengurusan organisasi dan pembangunan modal insan di dalam peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berintegriti.

“Dengan adanya Pelan OACP ini, TDM berupaya menghadapi cabaran yang lebih tinggi dalam meneruskan visi bagi meneraju, menjana dan menyumbang pembangunan sosio ekonomi negeri,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut katanya, pelan OACP ini merupakan satu dokumen dasar antirasuah di peringkat organisasi yang mencerminkan kesungguhan TDM dalam membanteras segala bentuk aspek rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa disamping membudayakan amalan berintegriti dalam operasi harian Kumpulan TDM.

Menurut beliau, pelancaran Pelan OACP TDM Berhad 2024-2026 merupakan rentetan daripada Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

“Baru-baru ini pada 7 Mei 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

“NACS yang menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, merupakan komponen penting yang menggariskan strategi-strategi teras secara menyeluruh dalam usaha pencegahan rasuah di Malaysia. Ia memberi fokus terhadap keberkesanan usaha pencegahan rasuah, selain meningkatkan tatakelola dan integriti dalam pentadbiran perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan kerajaan,” ujarnya.