Home Berita PAS Terengganu

TDM bina dua hospital baru

481
SHARE

KUALA TERENGGANU – Selaras penjenamaan semula Kumpulan TDM Berhad, anak syarikat milik kerajaan negeri Terengganu itu bakal meningkatkan tumpuan kepada divisyen penjagaan kesihatan dengan pembinaan dua buah hospital baharu, bermula tahun depan.

Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, strategi memperluaskan segmen itu bakal dijangka memberi pulangan lebih tinggi pada masa akan datang.

“Antara lokasi dalam proses adalah di Chukai, Kemaman dan Kota Bharu, Kelantan yang dirancang.

“Kita juga hendak besarkan hospital di Kuantan yang mana sekarang dalam 155 bilik dan kita akan tambah 80 bilik lagi bermula dalam awal tahun depan,” jelasnya di Wisma TDM, semalam.

Menurut beliau, TDM telah merekodkan peningkatan 24 peratus dengan perolehan sebanyak RM278.7 juta yang merupakan pencapaian tertinggi dalam divisyen penjagaan kesihatan pada tahun lalu.

“Namun, segmen perladangan juga mencapai tahap tertinggi sejak 13-14 tahun lepas dengan jumlah perolehan keseluruhan pada tahun 2022 adalah sebanyak RM614 juta.

“Tahun 2021, sumbangan terbesar adalah perladangan tetapi kini kedua-dua divisyen saling bersaing.

“Tetapi, kita jangkakan untuk segmen penjagaan kesihatan akan lebih tinggi selepas ini,” katanya.

Buat masa ini, TDM memiliki lima hospital pakar di bawah kelolaan Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd (KMI Healthcare) di Kelana Jaya, Selangor; Kuantan, Pahang; Kuala Terengganu; Taman Desa, Kuala Lumpur dan yang terbaru di Tawau, Sabah.