MARANG – TDM Berhad mengambil kesempatan program TDM Bersama Masyarakat yang berlangsung selama dua hari, berakhir hari ini untuk berkongsi rezeki kepada penduduk setempat.
Bertempat di Masjid Padang Mengkuang, agihan bantuan disampaikan kepada 400 keluarga golongan asnaf terpilih dari daerah Marang.
Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, pemberian sumbangan disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar itu merupakan usaha meringankan beban penerima.
“Kami warga TDM, sedar bahawa masih wujud sebilangan masyarakat yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan seharian.
“Kami mengambil peluang berkongsi rezeki kurniaan-Nya dengan harapan ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan-golongan yang terkesan dengan konsep, ‘Yang sedikit, sama sedikit, Yang banyak, sama banyak’ agar semua saling merasa rezeki yang ada,” katanya.
Tambahnya, penganjuran program berbentuk kemasyarakatan dan ilmiah itu merupakan sebahagian usaha syarikat untuk mendekati komuniti setempat dalam meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penghayatan Islam.
“Pengisian program berbentuk perkongsian ilmu dan penghayatan nilai Islam yang diadakan secara tidak langsung dapat melahirkan masyarakat yang holistik seimbang di antara duniawi dan juga ukhrawi,” katanya.