Home Tazkirah Ramadhan DMPM

Tazkirah Ramadhan Siri 29/1438H

647
SHARE

 

Tazkirah Ramadhan Siri 29/1438H

Tadabbur Al Quran Juzuk 29: Surah Al Muzzammil: Ayat 20

Terjemahannya:Sesungguhnya Tuhanmu mengetahui bahawa engkau (Muhammad) berdiri (solat) kurang daripada dua pertiga malam, atau seperdua malam atau sepertiganya dan (demikian pula) segolongan daripada orang yang bersamamu. Dan Allah menentukan ukuran malam dan siang. Dia mengetahui bahawa kamu tidak dapat menentukan batas-batas waktu itu; lalu Dia memberi keringanan kepadamu; maka bacalah apa yang mudah (bagimu) dari al-Quran. Dia mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang yang sakit, ada yang berjalan di bumi mencari sebahagian kurniaan Allah, dan ada yang berperang di jalan Allah; maka bacalah apa yang mudah (bagimu) daripada al-Quran, dan dirikan solat, tunaikan zakat dan berilah pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik. Apa saja kebaikan yang kamu lakukan untuk dirimu, nescaya kamu beroleh (balasan)nya di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan paling besar pahalanya. Dan mohonlah ampunan kepada Allah; sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.

Tafsir ringkas:

1. Pada peringkat awal kenabian, Nabi dan orang-orang beriman telahpun diperintah melakukan solat, khususnya solat malam (perintah solat malam dan membaca Al-Quran telah dinyatakan pada awal surah)

2. Allah dahulukan perintah _qiamullail_ untuk Nabi dan orang beriman bertujuan mempersiapkan diri mereka bagi menerima perintah yang lebih berat seperti berdakwah dan berperang, serta memperkuat iman mereka apabila diuji.

3. Ukuran batas malam dan siang adalah berbeza perimbangannya mengikut tempat dan musim. Hanya negara di garisan Khatulistiwa, siang dan malamnya hampir sama. Manusia tidak akan dapat menentukan batasannya dengan tepat.

4.  Di sini terdapat hikmah pada perintah yang agak fleksible ini; Nabi boleh berqiamullail sama ada 2/3 atau lebih, atau kurang, atau seperdua, atau sepertiga mengikut kemampuan. Banyak di kalangan sahabat berqiamullail melebihi 2/3 malam, malah ada yang sepenuhnya kerana  bimbang tidak sempurna menjalankan perintah.

5. Allah menzahirkan bahawa Dia mengetahui di kalangan hambaNya ada yang sakit, ada yang bekerja, mengembara dan berniaga untuk mencari rezeki. Dirangkaikan pula dengan _”ada yang berperang di jalan Allah”._ Walaupun perintah berperang dan berjihad belum ada pada masa itu, ia menjadi petunjuk bahawa mereka mesti bersedia untuk masa akan datang. Perkara kesihatan, pekerjaan dan jihad ini dibawakan agar mereka mengimbangi di antara _qiamullail_ dan rehat supaya perkara lain yang juga perintah Tuhan dapat ditunaikan dengan baik.

6. _”Dirikanlah solat dan tunaikan zakat”_ menjelaskan kedua perintah ini telah ada semenjak awal. Hanya selepas mikraj, solat diatur 5 waktu yang wajib. Nisab zakat pula ditentukan selepas hijrah ke Madinah.

7. Allah memilih perkataan ‘????’ (pinjaman) sebagai dorongan agar tidak takut membelanjakan harta untuk perkara kebajikan dan menegakkan agama. Ini kerana ia berupa pinjaman sahaja. Allah akan membayarnya berlipat kali ganda.

8. Allah yang Maha Sempurna bersifat _Ghafur_ (Maha Pengampun) dan _Rahim_ (Maha Pengasih) kepada hambaNya yang beriman, beramal dengan ikhlas, dan takut serta berharap hanya kepada-Nya.

Pengajaran :

1. Marilah kita berusaha melakukan _qiamullail_ (bangun malam bersolat dan membaca Al-Quran) kerana ia adalah sumber kekuatan.

2. Ayat _”bacalah apa yang mudah bagimu dari Al-Quran”_ diulang 2 kali dalam ayat ini selepas menerangkan perintah solat. Kita mesti berusaha membaca Al-Quran dengan tadabur; betul bacaan dan memahami isi kandungan untuk beramal dengannya.

3. Bagaimanapun, berlebih-lebihan sehingga sering tidak tidur malam atau berehat menyebabkan sakit, tidak dapat berkerja atau berjuang pada siangnya bukanlah menjadi maksud perintah Tuhan kepada kita.
 
4. Mencari rezeki yang halal dan baik adalah suruhan Tuhan

5. Kita mesti mengambil berat urusan solat dan mengeluarkan zakat harta. Sentiasa berusaha solat di awal waktu, berjamaah dan khusyuk. Khusyuk dalam solat boleh diusahakan dengan cara menjaga pemakanan yang halal dan baik, dan memelihara diri dari perkara maksiat dan _lagha._

6. Mengetahui ilmu asas bagaimana mengira dan menunaikan zakat harta supaya kita tidak cuai berzakat.

7. Berusaha mengikis sifat bakhil dalam diri dengan mengeluarkan harta untuk membantu orang yang memerlukan, menolong kerja dakwah dan tujuan menegakkan agama Allah. Tiada amalan yang luput dari catatan Allah. Jika dilakukan dengan ikhlas, ganjarannya di sisi Tuhan amat banyak.

8. Sebagai manusia, walau sebanyak mana amal dan berjuang, pasti akan ada kelekaan dan kesalahan. Apa yang penting ialah mengakui kekurangan diri di hadapan Kebesaran Allah yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Semoga beroleh apa yang kita harapkan, ampunan dan pahala di akhirat.

 

Rujukan: Tafsir Al Azhar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Penerangan & IT DMPK Gombak.
29 Ramadhan 1438/24 Jun 2017