Tazkirah Ramadhan Siri 28/1438H
Tadabbur Al Quran Juzuk 28: As-Saff: Ayat 4
Terjemahannya:
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. (ayat4)
Tafsir ringkas:
1. Ayat ini berkisar tentang kecintaan Allah SWT kepada orang-orang yang berjuang dan berjihad di jalanNya dalam keadaan mereka berjemaah dan berorganisasi sebagaimana bangunan yang kukuh dan tersusun kuat.
2. Dari Abu Said Al- Khudri r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “ada tiga jenis orang yang Allah redha kepada mereka iaitu seorang yang mengerjakan solat malam hari, dan kaum yang apabila solat mereka membentuk barisan dengan teratur, serta kaum yang apabila dalam medan perang mereka membentuk barisan dengan teratur.”
3. Menurut riwayat oleh Ali bin Talhah daripada Ibn Abbas bahawa segolongan orang beriman sebelum diturunkan kefardhuan dan kewajipan berjihad telah berangan-angan dan berkata, jikalah Allah tunjukkan kepada mereka sebaik-baik amalan, lalu mereka akan segera beramal dengannya. Allah lalu memberitahu Nabi-Nya bahawa amal yang terbaik adalah beriman dengan-Nya tanpa ragu-ragu dan berjihad menentang musuh-Nya. Tatkala diturunkan ayat jihad, segolongan mereka menjadi keberatan dan membencinya. Allah swt memurkai sikap mereka lalu menurunkan ayat ini.
4. Tasawwur yang tergambar daripada sebuah binaan yang teguh yang ditamsilkan oleh ayat ini menunjukkan kepada umat Islam gambaran tabiat agama mereka, menerangkan batu tanda perjalanan dan tuntutan kesatuan dan kerjasama yang perlu diterapkan oleh mereka di dalam kehidupan Islami. Mereka mestilah menguatkan antara satu sama lain, menampung kecacatan yang ada dan menyempurnakan binaan tersebut.
5. Ayat ini juga berkait rapat dengan ayat sebelumnya, yang mana Allah menegaskan bahawa setiap kata-kata yang diungkap perlulah dilunaskan dan ditepati. Segolongan pengikut nabi SAW mendesak agar dibuka medan jihad tetapi apabila datang kefardhuan jihad mereka beralasan. Di antara tanda-tanda munafik ialah: apabila berkata ia berdusta; apabila berjanji ia ingkari; apabila diberi amanat ia khianati.
Dalam surah An-Nisa’ ayat 77, Allah swt berfirman yang bermaksud: _” Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang-orang yang (pernah) dikatakan kepada mereka: “Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan perang yang belum diizinkan), dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat”. (Mereka meminta juga hendak berperang), kemudian apabila mereka diperintahkan berperang, tiba-tiba sekumpulan di antara mereka merasa gerun kepada manusia sama seperti mereka merasa gerun kepada (azab) Allah atau lebih gerun lagi.
Lalu mereka (merayu kepada Allah dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan kami berperang (pada saat ini)? Mengapa Engkau tidak biarkan kami hingga ke tempoh yang singkat (iaitu akhir hayat kami)?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun”_, Ayat ini ada perkaitannya dengan _As-Saff_ (barisan) di mana sebahagian sahabat pada waktu itu sangat bersemangat untuk berperang, tapi bila diwajibkan, mereka minta tangguh dan tidak mahu melakukannya.
6. Adapun, dalam surah At-Taubah ayat 38 dan 39, Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: “Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah”, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak_ (38)
_Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah – membela ugamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu_ (39)
Ayat ini merupakan ayat penegasan yang memberi arahan secara langsung kepada golongan yang tidak mahu berangkat di jalan Allah, mahu beriman atau tidak, dan mahu berjihad ataupun tidak.
Pengajaran:
1. Kemenangan Islam tidak akan terbina diatas kekuatan individu dan pemerintahan individu tetapi di atas kesatuan umat Islam, keberkatan berjemaah dan penyusunan organisasi dan strategi yang mantap.
2. Mohonlah pertolongan Allah melalui _tazkiyyah_, _taujihat_ dan _tarbiyyah_ yang istiqamah dan berterusan tatkala diri menjadi lemah.
3. Mukmin haraki dan sejati perlu ada kekuatan aqidah, ukhuwah dan pemahaman yang mendalam terhadap fikrah Islam. Jika tidak, mustahil kesatuan dan kekuatan saff yang digambarkan Al Quran dapat dicapai.
4. Modal utama yang wajib ada pada setiap mukmin adalah _quwwatus sillah billah_ (kekuatan hubungan dengan Allah). Semestinya Dia tempat kebergantungan yang hakiki.
5. Jika mahu menjadi pejuang yang dicintai Allah SWT , ikatlah diri dengan jemaah Islam yang lengkap elemen organisasinya. Pemimpin yang _thiqah_, pengikut yang taat, dasar yang benar dan sistem yang mantap.
6. Sebagai sebahagian dari batu bata jemaah, peruntukkan sebahagian waktu anda untuk jemaah dan perjuangan. Taati pimpinan, mesti berdisiplin, hadiri mesyuarat-mesyuarat, jalankan amanah yang diberikan, ikuti program -program dan sentiasa bersedia untuk ditarbiyah dan mentarbiyah.
Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir, Tafsir fi Dzilal Al Quran.
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Penerangan & IT DMPK Gombak.
28 Ramadhan 1438 / 23 Jun 2017